IPOH, 14 Feb (Bernama) -- Beberapa kawasan terjejas di Batang Padang dan Hilir Perak akibat gangguan bekalan air susulan kebocoran paip bawah tanah milik Lembaga Air Perak (LAP) kembali pulih hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata lokasi terbabit antaranya Langkap, Chui Chak, Changkat Jong dan Air Hitam dan manakala bekalan air di semua kawasan taman perumahan di bandar Teluk Intan sedang dipulihkan.
“Untuk hari ini penggunaan air diberi keutamaan kepada masjid sekitar Teluk Intan, Tapah, Bidor dan Bagan Datuk bagi tujuan menunaikan solat Jumaat,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Mohammad Nizar berkata setakat ini Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh telah beroperasi semula dengan kapasiti 70 peratus daripada pengeluaran sebenar berikutan pengaktifan semula saluran paip air mentah bersaiz 900 milimeter (mm) dari muka sauk Batu 10.
Sementara itu, LAP Wilayah Selatan dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan notis pemakluman catuan bekalan air yang telah dikeluarkan untuk kedua-dua daerah berkenaan kini dibatalkan serta-merta.
Menurut LAP hal itu kerana LRA Bukit Temoh telah menunjukkan kadar peningkatan yang positif.
“Pihak LAP sedang giat berusaha sedaya upaya untuk memulihkan bekalan air seperti sediakala. Sehubungan itu, pihak LAP akan sentiasa mengemas kini maklumat terkini kepada pelanggan yang dihormati.
"Segala kesulitan yang berlaku akibat gangguan ini amat dikesali,” menurut hantaran itu.
Sebelum ini, media melaporkan LAP mengeluarkan notis pemakluman pihaknya akan melaksanakan catuan air bermula 12 Feb hingga 1 Mac berikutan gangguan bekalan air akibat kebocoran paip bawah tanah milik agensi itu yang mengalirkan air mentah ke LRA Bukit Temoh bersebelahan Taman Bunga Raya, Tapah.
Kebocoran itu disebabkan pergerakan tanah yang ditambak melebihi 10 meter di atas paip air mentah LAP dan kesan pergerakan tanah turut mengakibatkan lebih tiga rumah di Taman Bunga Raya mengalami keretakan serius serta berisiko untuk diduduki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial