AM

Keharmonian, Kesejahteraan Dan Keadilan Sosial Teras Ketamadunan Bandar - Dr Zaliha

15/02/2025 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Ketamadunan sesebuah bandar diukur pada keharmonian, kesejahteraan serta keadilan sosial warganya dan bukan berdasarkan bangunan pencakar langit atau kemegahan infrastrukturnya semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata tidak ada maknanya ibu negara memiliki bangunan pencakar langit tertinggi di rantau ini, tetapi masih ada rakyat yang terpaksa bergelut dalam kesukaran hidup. 

“Tidak ada ertinya jika rakyat berbangga dengan kedudukan bandar raya Kuala Lumpur sebagai antara bandar terbaik di dunia, namun aspek sosial seperti kebersihan dan kesejahteraan sosial masih diabaikan.

“Selain itu, kita juga tidak boleh berpuas hati sekiranya taraf ekonomi bandar raya ini terus berkembang pesat, tetapi mentaliti dan kesedaran sivik rakyatnya masih berada pada tahap yang lemah.

“Inilah yang dimaksudkan sebagai ketamadunan MADANI yang digagaskan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) iaitu kemajuan fizikal perlu diimbangi dengan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Harmoni 2025 dan Program Perarakan Harmoni di Dataran Merdeka malam ini yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang. 

Dr Zaliha berkata dalam mencapai ketamadunan itu, negara memerlukan dasar serta inisiatif yang benar-benar memberi impak kepada rakyat dan bagi Wilayah Persekutuan beberapa langkah penting telah dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan sosial rakyat terus diperkukuh. 

 “Alhamdulillah, di Wilayah Persekutuan, dalam tahun 2024, kita telah berjaya mengeluarkan 99.9 peratus daripada jumlah data miskin tegar dikunci daripada belenggu kemiskinan tegar melalui pelbagai bantuan termasuk mendayaupayakan Ketua Isi Rumah untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya. 

Dr Zaliha berkata sebagai tuan rumah ASEAN 2025 dan bersempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan, Wilayah Persekutuan akan memainkan peranan utama dalam menampilkan imej negara yang harmoni, progresif dan bersatu padu. 

Sementara itu, Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ dan Inisiatif Harmoni MADANI bagi memperkukuh keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan penganut agama di Malaysia.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan mengetengahkan konsep Faham, Hormat, dan Terima yang menjadi asas integrasi nasional untuk mempromosikan pemahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan agama di negara kita. 

“Inisiatif ini diyakini mampu meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan