AM

Pusat Transformasi OKU USM-MAIK Bantu Perkasa Golongan OKU

18/02/2025 04:52 PM

KOTA BHARU, 18 Feb (Bernama) -- Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Sains Malaysia (USM)-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merupakan pusat perkhidmatan sehenti pertama ditubuhkan di Malaysia untuk membantu memperkasakan golongan istimewa itu.

Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata sehingga kini lebih 5,000 OKU telah mendapatkan pelbagai perkhidmatan di pusat sehenti itu sejak mula ditubuhkan pada 2022 menggunakan dana sumbangan MAIK.

Beliau berkata kewujudan pusat transformasi itu dapat menyediakan penyelesaian permasalahan dihadapi OKU dengan kepakaran USM berdasarkan keperluan, selain turut menerima kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Pusat transformasi ini diwujudkan menerusi kerjasama USM dan MAIK membabitkan dana hampir RM1 juta. Menerusi pusat ini pelbagai khidmat ditawarkan untuk memudahkan urusan OKU termasuk pendaftaran dan pembaharuan kad OKU serta penilaian memandu.

"Selain itu kita turut menawarkan khidmat runding cara berkaitan ekonomi OKU, seperti geran bantuan perniagaan dan projek pertanian komersial OKU intelek," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan di pusat transformasi itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, MAIK menyumbangkan 110 kerusi roda khas kepada OKU golongan asnaf dari seluruh Kelantan membabitkan peruntukan RM340,000 

Mohd Zulkifli berkata setakat ini 120 OKU berjaya mendapat pekerjaan termasuk sebagai pembantu kafe, tukang kebun dan pembantu pasar raya atau mengusahakan perniagaan sendiri menerusi Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek. 

"Pelatih di pusat transformasi ini akan dikenal pasti menerusi peluang pekerjaan terlebih dahulu sebelum dilakukan penilaian oleh terapi carakerja (yang) memandankan kebolehan OKU dengan keperluan pekerjaan disusuli latihan praktikal sebelum beralih kepada fasa lantikan tetap.

"Kita berharap apabila mereka didedahkan dengan situasi pekerjaan, mereka akan lebih berdikari sekali gus menyelesaikan masalah OKU berumur tidak bekerja. Selain itu, maklum balas majikan mereka setakat ini sangat positif," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan