AM

SOSMA Tangani Jenayah Kompleks, Terancang Ancam Keselamatan Negara - Saifuddin Nasution

19/02/2025 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) diperlukan untuk menangani kegiatan jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata akta berkenaan digubal khusus untuk menangani kesalahan keselamatan seperti kesalahan terhadap negara, keganasan, jenayah terancang dan penyeludupan migran.

“SOSMA yang digubal selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dimansuhkan dan ketika itu negara masih berhadapan dengan masalah keselamatan dan ketenteraman awam yang dicetuskan oleh ancaman  keselamatan serius, keganasan, jenayah terancang, pemerdagangan orang, sabotaj dan pengintipan,” katanya pada sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata antara contoh kes besar melibatkan jenayah terancang dan kumpulan gengster yang disiasat menggunakan SOSMA seperti Geng 360 Devan, Geng Jackie dan Geng Etong yang menjalankan aktiviti haram seperti perdagangan dadah, pelacuran, rompakan bersenjata dan pemerasan.

“Polis tidak dapat menyelesaikan jenayah yang kompleks dan terancang ini dengan hanya tindakan reman 24 jam dan sambung tiga hari dan sambung lagi tujuh hari,” katanya.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata SOSMA juga digunakan terhadap kes-kes jenayah melibatkan kumpulan pengganas dan kelompok ekstremis yang menjalankan aktiviti merancang serangan pengganas, pembunuhan beramai-ramai atau serangan dalam skala besar.

Beliau berkata ia termasuk melibatkan insiden tembakan di Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis manakala seorang lagi anggota cedera ditembak individu yang terlibat dengan fahaman ekstremis dan keganasan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membenarkan video berdurasi dua minit memaparkan kesan insiden jenayah kejam berkaitan SOSMA yang berlaku di negara ini, dipertontonkan kepada Ahli Parlimen sebagai usaha menjelaskan perspektif pasukan penguat kuasa berhubung keperluan SOSMA. 

Johari turut meminta Ahli Parlimen dan pegawai yang berada dalam Dewan Rakyat tidak merakam dan menyebarkan video yang mengandungi imej membimbangkan.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan bahawa pihak polis akan membuat taklimat khas kepada Ahli Parlimen untuk menjelaskan pendapat mereka dalam menguatkuasakan SOSMA. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan