AM

JBPM Jalin Kerjasama Strategik Wujudkan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia

19/02/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalin kerjasama strategik dengan enam pihak pengurusan bangunan tertinggi di ibu negara dengan matlamat menubuhkan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata majlis itu diwujudkan dalam usaha berkongsi kepakaran berkaitan isu keselamatan dan kebakaran di bangunan-bangunan paling tinggi di negara ini selain memastikan mereka memiliki kriteria ‘kritikal’ untuk pelepasan diri sewaktu kecemasan. 

“Antara fokus tumpuan yang akan diberikan perhatian adalah kaedah untuk membolehkan operator atau pengendali bertauliah mengendalikan lif kecemasan. Buat masa ini, tidak ramai yang kita turunkan kuasa dan tanggungjawab bagi membolehkan mereka mengoperasikan lif ketika waktu kecemasan.

“Bayangkan kalau orang duduk tingkat atas untuk turun ke bawah khususnya orang kurang upaya (apabila berlaku kecemasan)... ini antara cabaran utama,” katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan JBPM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata surat niat (LOI) Kerjasama Strategik telah ditandatangani antara JBPM dan kesemua enam entiti berkenaan iaitu Menara Merdeka 118, Menara Exchange 106, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Four Seasons Place Kuala Lumpur dan Menara Telekom pada Disember tahun lepas.

Beliau berharap dengan ilmu yang diterapkan kepada pengendali lif terlatih, ia dapat memberikan perubahan besar apabila berlaku kes kecemasan atau kebakaran di bangunan yang terlibat.

Nor Hisham berkata terdapat 366 bangunan tinggi di negara ini, dan daripada jumlah itu 293 bangunan direkodkan melebihi 150 meter, 67 bangunan melebihi 200 meter, manakala enam lagi bangunan melebihi 300 meter.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan