AM

JBPM Johor Catat 'Response Time' 58.79 Peratus Tahun Lepas

19/02/2025 06:08 PM

JOHOR BAHRU, 19 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mencatatkan peningkatan pencapaian 'response time' (RT) iaitu sebanyak 58.79 peratus tahun lepas, berbanding 57.56 peratus pada 2023.

Pengarah JBPM negeri Siti Rohani Nadir berkata bagaimanapun, masa tindak balas dalam tempoh 10 minit itu masih perlu dipertingkatkan kerana belum mencapai sasaran 63 peratus yang ditetapkan oleh jabatan berkenaan.

Justeru, beliau berkata pihaknya berharap agar 29 pasukan bomba sukarela (PBS) dengan lebih 600 anggota di negeri itu dapat bersama-sama membantu pasukan berkenaan tiba di lokasi kejadian lebih cepat sekali gus meningkatkan lagi RT.

“Kita berharap mana-mana kawasan yang berada di luar jangkauan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu dalam jarak jauh akan diperkemaskan dengan (kehadiran) pasukan PBS sebagai 'first responder' dengan alatan, kelengkapan dan kenderaan yang telah diberikan.

“Antara faktor kita tak dapat capai tiba dalam tempoh 10 minit itu apabila kebakaran tersebut berlaku pada waktu puncak, kesesakan lalu lintas dan keadaan jalan raya (misalnya) berbonggol,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan JPBM di sini hari ini.

Dalam pada it, Siti Rohani berkata sebanyak 13,717 kes kecemasan telah diterima oleh jabatan itu atau purata 38 panggilan kecemasan sehari sepanjang tahun lepas melibatkan 4,509 kes kebakaran, tugas penyelamatan (1,298), panggilan khidmat kemanusiaan (7,602) dan panggilan tugas-tugas khas (293).

“Jumlah panggilan kecemasan ini menunjukkan trend penurunan sebanyak 5.09 peratus berbanding 2023 yang merekodkan jumlah keseluruhan 14,452 panggilan.

“Nilai harta yang berjaya diselamatkan pula berjumlah RM774 juta berbanding RM767 juta pada 2023,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 25 pengamal media daripada pelbagai agensi menerima sijil penghargaan selain tiga orang masing-masing daripada JBPM dan orang awam.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan