NILAI, 19 Feb (Bernama) -- Karnival Generasi MADANI 2025 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan platform kepada pelajar institusi Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh pembentukan karakter generasi muda lebih progresif dan berdaya saing.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata karnival berlangsung hari ini turut berperanan dalam memupuk dan mengeratkan perpaduan generasi muda dalam kepelbagaian kaum di negara ini.
"Generasi MADANI ialah generasi yang bersedia menghadapi cabaran global dengan minda yang progresif, berdaya saing, kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
"Konsep Generasi MADANI selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Rukun MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi MADANI KPM 2025 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPM Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah KPM Azman Adnan.
Fadhlina berkata matlamat program untuk memberikan penekanan kepada pembangunan insan holistik merangkumi ilmu dan kemahiran, akhlak, adab, tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda terutamanya murid sekolah dan pelajar institusi pendidikan KPM.
Beliau berkata karnival itu juga menyediakan platform terbaik untuk generasi muda menyerlahkan bakat, meningkatkan keyakinan diri dan membina jaringan positif antara satu sama lain.
"Pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi memberikan peluang kepada mereka untuk belajar melalui pengalaman iaitu Pameran Seni Visual dan Karikatur; Permainan Interaktif dan Suka; Pameran Pendidikan dan Kesukarelawanan dan Sesi Temu Santai bersama Menteri KPM,” katanya.
Dalam pada itu, karnival itu turut mengadakan pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (PISTEK) 2025 bagi murid sekolah menengah di seluruh negara mempamerkan projek inovatif mereka dalam bidang seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), sains data, dan reka bentuk teknologi serta kejuruteraan.
Enam kumpulan terbaik PISTEK iaitu pelajar dari SMJK Khatolik (Selangor); SMK Jalan Empat (Selangor); SMK Sultan Ismail (Johor); Kolej Melayu Kuala Kangsar (Perak); Sekolah Sains Sultan Muhammad Jiwa (Kedah) dan Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) terpilih menyertai pertandingan Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2025 di Columbus, Ohio, Amerika Syarikat dari 10 hingga 16 Mei ini.
ISEF merupakan pertandingan penyelidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) terbesar di dunia untuk murid sekolah menengah, menghimpunkan hampir 2,000 finalis daripada lebih 60 negara, wilayah serta kawasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial