JITRA, 19 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki yang tular menjual daging salai bagi mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala, mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan RM15,000 kepadanya.
Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, menerima sumbangan itu daripada wakil Perdana Menteri, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Kedah Zaiton Yahya di rumahnya di Taman Jitra Indah, di sini hari ini.
Zaiton berkata sumbangan Perdana Menteri itu bagi membantu Muhammad Sufi menampung kos pembedahan pemasangan implan tempurung kepalanya.
“Muhammad Sufi sebelum ini terlibat dalam kemalangan pada Disember 2023. Akibat kemalangan itu, dia mengalami kecederaan teruk di kepala. Pihak ICU dimaklumkan Perdana Menteri simpati dengan apa yang berlaku dan telah meminta saya mewakili beliau menyampaikan sumbangan.
“Saya harap, sumbangan ini dapat mengurangkan beban dipikul Muhammad Sufi dan berdoa agar Allah mempermudah segalanya dan semoga Muhammad Sufi cepat sembuh dan kembali normal seperti sediakala,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sufi, fisioterapis atau jurupulih anggota di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar berkata hidupnya berubah sekelip mata selepas motosikalnya terbabas di Tanah Merah, Jitra sehingga menyebabkan tempurung kepala kanan terpaksa dibuang akibat pendarahan otak yang serius.
“Kejadian berlaku semasa saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berjumpa rakan dan apabila sampai di tempat kejadian, saya terbabas sendiri. Kemalangan menyebabkan berlaku pendarahan pada otak selain menyebabkan saya mengalami strok. Saya koma sebulan dan hanya mampu berjalan semula selepas tiga bulan.
“Bahagian tempurung kepala semakin mengecut, disebabkan itu kena buat pembedahan segera. Jika diikutkan pembedahan pada 9 Mac. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dan sumbangan ini dapat meringankan kos rawatan. Semoga Perdana Menteri dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” katanya.
Muhammad Sufi menggunakan minat memasaknya untuk menjual daging salai, dibuat bersama-sama ibunya Nooraini Ishak, 71, bagi mencari dana untuk menampung kos pembedahan itu, telah memuat naik video menjual produk itu dalam media sosial hampir seminggu lepas.
“Saya tidak sangka semakin ramai memesan daging salai selepas video tular sejak dua, tiga hari lepas. Setakat ini pesanan diterima kira-kira 20 peket. Daging salai tidak dibuat setiap hari kerana mengambil masa, iaitu 12 jam sahaja untuk proses menyalai.
“Buat masa ini, saya akan siapkan semua pesanan diterima … selepas pembedahan nanti dan apabila sudah sihat, saya ingin kembali bekerja sebagai ahli fisioterapi kerana memang sukakan pekerjaan itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial