AM

MAVCOM: Syarikat Penerbangan Perlu Bayar Balik Pelanggan Sekiranya Lewat Lebih 5 Jam

19/02/2025 09:37 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman dan Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini sekali lagi menegaskan bahawa penumpang syarikat penerbangan mempunyai pilihan untuk mendapatkan kembali bayaran tiket mereka sekiranya penerbangan mereka terlewat lebih lima jam.

Pengarah hal ehwal pengguna dan MAVCOM Pushpalatha Subramaniam berkata, syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa perlu menyediakan bayaran balik kepada penumpang dalam kaedah pembayaran asal.

“Ini adalah pilihan baharu untuk pengguna atau penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka atau jika tujuan perjalanan mereka tidak lagi relevan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perubahan ini adalah sebahagian daripada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang telah ditambah baik baru-baru ini dan berkuat kuasa pada 1 Sept 2024.

“Walaupun syarikat penerbangan masih boleh memberikan kredit penerbangan dan baucar perjalanan, pilihan pertama yang dikemukakan mestilah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal. Pilihan mesti diserahkan kepada pengguna.

“Perubahan ini juga terpakai kepada gangguan penerbangan di luar kawalan syarikat penerbangan, seperti keadaan cuaca buruk, sekatan kawalan trafik udara (ATC) dan bencana alam seperti letusan gunung berapi atau gempa bumi, atau keadaan lain yang menghalang perjalanan ke destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program temu bual The Nation di Bernama TV hari ini yang dihoskan oleh Jessy Chahal.

Kod yang ditambah baik itu mengandungi beberapa perubahan penting untuk mengukuhkan hak pengguna dan memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam industri penerbangan.

Pushpalatha berkata sekiranya pengguna memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka, syarikat penerbangan perlu memberikan bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, yuran dan caj seperti levi berlepas, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan fi karbon.

"Ini terpakai kepada kedua-dua tiket yang boleh dibayar balik dan tidak boleh dikembalikan," katanya.

Beliau juga berkata pengguna kini perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal tentang sebarang perubahan pada waktu berlepas yang dijadualkan (STD).

“Syarikat penerbangan dibenarkan membuat perubahan pada STD yang disebabkan oleh isu teknikal dan cuaca buruk.

"Bagaimanapun, atas sebab komersial, mereka tidak lagi dibenarkan membuat perubahan pada STD dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh berlepas,” katanya.

Beliau berkata MAVCOM memantau pematuhan terhadap peraturan ini melalui aduan pengguna dan data yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan, dan dikehendaki melaporkan kepada suruhanjaya tersebut secara bulanan.

“Di bawah Seksyen 22 MACPC, jika syarikat penerbangan tidak mematuhi peraturan ini, penalti kewangan boleh dikenakan.

"Syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan 10 kali ganda penalti bagi kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya.

Beliau berkata MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan secara kumulatif berjumlah RM4.85 juta ke atas syarikat penerbangan kerana tidak mematuhi MACPC.

Kod tersebut juga mewajibkan semua penerbangan yang dibatalkan dikeluarkan segera daripada semua platform tempahan, termasuk yang dikendalikan oleh ejen pelancongan dalam talian dan luar talian.

Langkah ini adalah untuk melindungi pengguna daripada membeli tiket untuk penerbangan yang tidak tersedia, katanya.

Sekiranya berlaku isu terlebih tempahan tiket, syarikat penerbangan perlu memaklumkan pengguna di kaunter daftar masuk atau pintu berlepas jika mereka tidak dibenarkan menaiki penerbangan tersebut, namun dilarang untuk memaksa penumpang keluar sekiranya mereka sudah menaiki pesawat.

Selain itu, tempoh masa untuk pengguna mengemukakan aduan telah dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun, dan ini membolehkan lebih banyak masa untuk pengguna mendapatkan penyelesaian bagi isu berkaitan perjalanan udara mereka.

 Pengguna bagaimanapun digalakkan untuk membuat aduan sebaik sahaja mereka mengalami gangguan penerbangan, kata MAVCOM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan