AM

Rancangan Kembalikan Penerbangan Terus Malaysia-Bahrain Sedang Dibincang - PM Anwar

20/02/2025 03:20 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

MANAMA (BAHRAIN), 20 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan untuk mengembalikan penerbangan terus antara Malaysia dan Bahrain sedang dibincang.

Beliau berkata perkara berkenaan dibincangkan pada majlis sambutan rasmi dan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa di Istana Gudaibiya di sini.

“Potensi di sini ada, nanti kita (Malaysia) minta Gulf Air supaya ada penerbangan terus… memang Putera Mahkota sebut, minta kita beri perhatian supaya ada perhubungan pesawat lebih kerap.

“Sama ada MAS atau syarikat penerbangan lain, ini kita sedang perhatikan,” kata beliau dalam sesi soal jawab semasa pertemuan dengan diaspora Malaysia pada majlis makan malam.

Anwar tiba di sini awal pagi semalam bagi mengadakan lawatan rasmi pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota.

Sebanyak 297 rakyat Malaysia tinggal di Bahrain, termasuk tiga pelajar yang sedang melanjutkan pengajian tinggi.

Perdana Menteri berkata Putera Mahkota turut memberi bayangan bersetuju untuk melawat Kuala Lumpur pada Mei depan bagi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China selepas beliau menyampaikan undangan pada kunjungan hormat itu.

“PM Bahrain (Putera Mahkota) beritahu saya kemungkinan besar akan ke KL (Kuala Lumpur) Mei ini untuk ASEAN-GCC, jadi GCC keseluruhannya itu merupakan kawasan penting untuk Malaysia dan ASEAN.

“Insya-Allah kita akan tingkatkan kerjasama dalam semua bidang, pendidikan, AI (kecerdasan buatan), pelancongan, ekonomi, pelaburan, kewangan, perbankan Islam, halal,“ kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan