AM

717 Tangkapan Kes Pemalsuan Kad Pengenalan Dilaksanakan Sejak 2020-2024

20/02/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Sebanyak 717 tangkapan telah dilaksanakan dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama pelbagai agensi penguatkuasaan sejak 2020 hingga 2024, bagi membanteras jenayah pemalsuan kad pengenalan dan memiliki kad pengenalan orang lain. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, 320 individu telah didakwa di mahkamah di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pegawai yang terlibat dengan jenayah itu sama ada menjual dan memiliki kad pengenalan orang lain.

“Kita mempunyai tatacara, tatakelola dan juga peraturan yang ketat. Mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan tetap akan diambil tindakan berasaskan kesalahan yang mereka lakukan. Kita tidak ada kompromi soal ini kerana ini dokumen penting negara, identiti negara sangat kita jaga terutama sekali pemberian secara tidak sah.

“Dalam soal penguatkuasaan, kita sentiasa tegas kerana untuk aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang sangat diberi perhatian dan ia memberi impak besar kepada soal keselamatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Shamsul Anuar menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin tahu mengenai garis masa spesifik bagi tindakan yang lebih agresif diambil Kementerian Dalam Negeri untuk menjejaki individu termasuk pegawai yang terlibat dalam sindiket pasport dan kad pengenalan. 

Selain itu, beliau berkata pihaknya bersama JPN juga sedang merancang untuk memperkenalkan kad pengenalan struktur baharu yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih sesuai dengan perkembangan teknologi terkini.

“Tujuannya (kad pengenalan baharu) adalah untuk memastikan dokumen pengenalan ini lebih sukar untuk dipalsukan serta menjaga keselamatan negara dari sindiket pemalsuan ini,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya juga sedang melaksanakan kajian mengenai infrastruktur privasi data rakyat sebelum kad pengenalan itu diperkenalkan.  

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan