KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memastikan sekuriti makanan negara terjamin tanpa mengabaikan alam sekitar dan kesihatan rakyat, menurut Timbalan Menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siri perbincangan dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dalam meminda Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Arthur berkata NRES telah memberi pandangan khusus terhadap keperluan untuk mengekalkan keseimbangan pertanian dan pemeliharaan biodiversiti dan RUU itu telah dirangka untuk meminimumkan risiko kepada kepelbagaian biologi dan ekosistem melalui garis panduan pertanian mampan.
“RUU itu akan dibacakan bersama mana-mana akta yang lain, iaitu Akta Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) serta Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan 2004 (Akta 634),” katanya pada sesi Kamar Khas di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang ingin tahu sekiranya KPKM telah merujuk NRES dan KKM dalam pindaan RUU itu serta sama ada kerajaan bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
Mengulas lanjut, Arthur berkata Jabatan Pertanian mengambil serius masalah berkaitan Residu Racun Makhluk Perosak (RMP), seperti pelanggaran Had Maksimum Residu (MRL) di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974.
KKM juga katanya, sentiasa memastikan input pertanian termasuk penggunaan racun perosak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983.
“Sekiranya residu RMP melebihi yang ditetapkan, komoditi yang terlibat akan dimusnahkan, dan pemilik boleh didakwa dan dikenakan penalti di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan membentangkan pindaan RUU berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
“KPKM juga bersedia untuk membuat konsultasi awam, sekiranya terdapat keperluan dan akan terus memberi penerangan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan benar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial