JITRA, 21 Feb (Bernama) -- Ahli fisioterapi Muhammad Sufi Abdul Aziz tidak 'menang tangan' menyiapkan tempahan daging salai daripada orang ramai setelah kisahnya mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala tular di media sosial baru-baru ini.
Muhammad Sufi, 36, bagaimanapun berkata dia terpaksa menghentikan tempahan itu hari ini selepas dimaklumkan pembedahan pemasangan berkenaan dijadualkan semula di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 25 Feb ini.
“Sepatutnya 9 Mac pembedahan itu, tapi semalam pihak hospital menghubungi saya dan memaklumkan pembedahan akan dibuat Selasa ini, syukur cepat.
“Saya akan teruskan pembedahan itu dengan sumbangan RM15,000 daripada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jitra Indah di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sufi ketika ditanya mengenai tempahan daging salai berkenaan berkata, dia menzahirkan rasa syukur dan terharu di atas keprihatinan masyarakat terhadap nasib dirinya.
“Alhamdulillah, tempahan banyak sampai tak menang tangan, kena minta bantuan mak (Noraini Ishak, 71) untuk membantu siapkan tempahan.
“Semalam sudah selesai siapkan 32 kilogram daging salai yang ditempah orang ramai sejak dua hari lepas,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Sufi menerima kunjungan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari yang turut menghulurkan sumbangan RM5,000 selain barangan keperluan harian.
Sebelum ini, nasib Muhammad Sufi turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk menampung kos rawatannya.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menyalurkan bantuan, dan yang menempah daging salai yang resipinya saya olah dari internet. Jualan saya mendapat sambutan hangat selepas mereka yang suka dan kongsi video saya hingga menjadi viral,” katanya.
Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata pihaknya akan mengenal pasti bantuan lain yang boleh disalurkan kepada Muhammad Sufi termasuk kos bagi rawatan selepas pembedahan.
“Saya akan lihat apa bentuk bantuan dan barangan keperluannya selepas ini… Apa patut kita bagi lagi… Mungkin kita akan bantu dia mendapatkan dana dari mana-mana agensi dan peralatan macam TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional).
“Kita doakan dia sembuh cepat dan menjalani kehidupan normal kembali dan menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti,” katanya.
Muhammad Sufi sebelum ini terlibat kemalangan selepas motosikalnya terbabas dalam kejadian di Tanah Merah, Jitra pada Disember 2023 yang menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk di kepala sehingga tempurung kepala kanan terpaksa dibuang akibat pendarahan otak yang serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial