AM

RUU Perkhidmatan Parlimen: Langkah Utama Dalam Reformasi Institusi - Azalina

25/02/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Usaha pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi memartabatkan institusi Parlimen dianggap sebagai langkah utama dalam memperkenalkan reformasi institusi yang komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melalui agenda reformasi institusi yang direncanakan Kerajaan MADANI itu, Perkhidmatan Parlimen akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.

“Secara tidak langsung, maksud separation of powers dalam konteks bidang kehakiman, eksekutif, dan legislatif akan dapat ditafsirkan dengan lebih bebas,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata dalam menggubal RUU itu, beberapa sesi libat urus, mesyuarat jawatankuasa dan kajian tinjauan telah diadakan pada 2023 dan 2024. Antara yang terlibat dalam sesi ini termasuk Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), bagi membincangkan perkara berkaitan penetapan dasar serta pewujudan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam dan bacaan kali kedua dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac ini.

Sementara itu, Azalina juga berkata bahawa Akta Kontrak 1950 (Akta 136), yang dianggap sebagai undang-undang lapuk, perlu dipinda agar ia relevan dengan keperluan zaman moden dalam menangani isu-isu kompleks yang melibatkan transaksi e-dagang serta perjanjian digital.

Beliau menjelaskan bahawa sebahagian besar kandungan dalam Akta 136 masih menggunakan istilah lama.

"Ini adalah cabaran yang sangat penting kerana jika kita lihat dalam talian, dokumen bank adalah digital, tandatangan juga digital. Ini kadang-kadang menjadi satu cabaran dalam membuktikan kes-kes kontrak, jika kajian dan pindaan tidak dilakukan," tambahnya.

Sehubungan itu, Azalina berkata Jawatankuasa Kajian Pindaan Akta 136, yang ditubuhkan pada 14 Jan lepas dan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, akan melaksanakan kajian komprehensif terhadap akta tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan