AM

Penyelesaian Kes Mahkamah Syariah Perlu Diperkasakan Dengan Teknologi AI - Sultan Pahang

25/02/2025 10:41 PM

KUANTAN, 25 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa sudah tiba masanya penyelesaian kes di Mahkamah Syariah negeri ini diperkasakan dengan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi memacu pembangunan institusi kehakiman syariah. 

Baginda bertitah bahawa sistem court recording transcription (CRT) yang digunakan di mahkamah negara ini untuk merekod dan mentranskrip perbicaraan secara elektronik dan automatik, membolehkan hakim memberi tumpuan sepenuhnya kepada prosiding tanpa gangguan kerja-kerja penulisan.

"Selain itu, sistem CRT memudahkan pendaftaran kes serta mempercepatkan perjalanan kes. Saya berharap kerajaan negeri akan memberikan peruntukan sewajarnya kepada Mahkamah Syariah bagi melaksanakan sistem ini semasa prosiding, sebagaimana yang telah dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah Sarawak.

“Ini merupakan antara usaha untuk meningkatkan mutu penghakiman syariah di Pahang," titah baginda ketika Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim serta pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Berkenaan majlis pengurniaan tersebut, Al-Sultan Abdullah bertitah hakim syariah memegang peranan yang amat penting dalam memastikan keadilan serta keberkesanan pelaksanaan undang-undang Islam di Pahang, mengukuhkan integriti serta keyakinan terhadap institusi kehakiman syariah.  

Justeru, baginda menzahirkan keyakinan proses pelantikan hakim adalah teras dalam menegakkan keadilan serta melindungi hak asasi manusia selain memastikan kepatuhan yang konsisten kepada syariat, sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem kehakiman yang adil, saksama dan berwibawa.

“Saya amat prihatin dengan peningkatan isu jenayah syariah di negeri Pahang. Dengan pelantikan Ketua Pendakwa Syarie yang memiliki kawalan menyeluruh ke atas kes-kes jenayah syariah, saya yakin setiap kes dapat diselesaikan secara adil dan berkesan selaras dengan undang-undang yang diperuntukkan.

“Lambakan kes di Mahkamah Syariah perlu diberi perhatian, terutamanya kes penceraian agar dapat disegerakan. Saya telah disembah maklum, sejak penggunaan Kaedah-Kaedah Hakam bermula 2019, penyelesaian kes penceraian di Mahkamah Syariah Pahang telah dipercepatkan dengan signifikan,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa proses penyelesaian kes perceraian sebelum ini mengambil masa antara satu hingga sembilan bulan, tetapi dengan kaedah tersebut, ia kini hanya mengambil masa antara satu hingga empat bulan sahaja.

“Keberkesanan pendekatan ini terbukti apabila sebanyak 828 kes berjaya diselesaikan sejak 2023 hingga 2024. Pemerkasaan dan pelaksanaan Kaedah-Kaedah Hakam ini, diharapkan dapat memberi impak positif dalam menyelesaikan isu umat Islam di negeri Pahang,” titah baginda.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan