BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

Kajian Terperinci Perlu Dijalankan untuk Fahami perbezaan Caj Rawatan Hospital Swasta - Timbalan Menteri Kewangan

26/02/2025 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kajian terperinci perlu dijalankan bagi memahami dengan lebih lanjut isu perbezaan caj rawatan hospital swasta antara pesakit yang menggunakan surat jaminan (guarantee letter) dan mereka yang membayar dahulu sebelum membuat tuntutan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata berdasarkan kajian ke atas bil tuntutan hospital swasta kepada syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO), terdapat kes tertentu yang menunjukkan jumlah kos rawatan lebih tinggi bagi pesakit yang menggunakan surat jaminan berbanding mereka yang membayar dahulu sebelum membuat tuntutan.

“Memandangkan caj rawatan yang dikenakan adalah kurang telus, kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami dengan lebih lanjut isu perbezaan caj ini serta langkah-langkah susulan yang boleh diambil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan perbezaan caj hospital swasta mengikut bayar dahulu dan tuntut kemudian dan surat jaminan.

Lim turut menegaskan bahawa kerajaan peka terhadap isu ini termasuk pengalaman rakyat yang disuarakan semasa sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, hospital swasta dan pihak ITO, sedang berusaha mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu inflasi kos perubatan serta caj hospital swasta.

“Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim. Pelan tindakan bersepadu ini telah pun dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata berdasarkan dapatan awal pangkalan data tuntutan bersepadu industri insurans dan takaful (ITO), beberapa jenis penyakit mencatatkan kadar tuntutan yang tinggi bagi rawatan hospital pada tahun 2023 di bawah insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT).

Antara penyakit yang kerap dituntut ialah pneumonia, masalah berkaitan tulang belakang, gangguan sistem pencernaan dan penyakit jantung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan