KUCHING, 28 Feb (Bernama) -- Festival Muzik Dunia Hutan Hujan Sedunia (RWMF) edisi ke-28 bakal kembali bertemakan ‘Connections: One Earth, One Love’, dari 20 hingga 22 Jun di Kampung Budaya Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Earth, Wind & Fire (EWF) yang diterajui oleh pemenang enam kali Anugerah Grammy Al McKay, antara kumpulan yang bakal membuat persembahan.
“Kami berbesar hati untuk mempersembahkan tiga kumpulan utama yang hebat iaitu EWF Experience by Al McKay dari Amerika Syarikat yang diketuai oleh pemain gitar legenda dan pemenang Anugerah Grammy Al McKay, kugiran seni asli Otyken dari (Rusia-Siberia) dan At Adau dari Sarawak.
“Dengan rekod kehadiran 26,000 pengunjung pada tahun lepas, kami menyasarkan 30,000 pengunjung pada 2025. Penyertaan 170 penggiat seni dari 20 negara, festival tahun ini menjanjikan gabungan luar biasa bakat bertaraf dunia dan seni asli,” katanya dalam ucapan pelancaran RWMF 2025 ke-28 di sini hari ini.
Selain itu, barisan artis antarabangsa lain yang bakal tampil, termasuk Gaga Gundul dari Perancis dan Indonesia, Kuntaw Mindanao (Filipina), Seppuku Pistols (Jepun), La Chiva Gantiva (Colombia dan Belgium) serta Tal Fry (India).
Abdul Karim berkata antara artis tempatan yang bakal menghiburkan penonton di RWMF tahun ini ialah Buloh Berkocak, Meruked, Mathew Ngau Jau bersama Lan E Tuyong dan Buddha Beat.
Tiket ditawarkan dalam pelbagai pilihan, termasuk pas tiga hari yang berharga RM635 bagi dewasa, membolehkan akses sepanjang acara serta pas sehari berharga RM235 untuk tempahan awal, RM283 (pre-sale) dan RM333 untuk pembelian di pintu masuk.
"Kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun boleh menikmati keseronokan di festival itu menerusi pembelian pas sehari berharga RM80 manakala kanak-kanak bawah umur tiga tahun masuk percuma," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial