AM

SJMC Hospital Pertama Di Asia-Pasifik Peroleh Empat Pensijilan Pusat Kecemerlangan ACHSI

28/02/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) memperoleh pencapaian penting dalam penjagaan pesakit, apabila menjadi hospital pertama di Asia-Pasifik mencapai empat pensijilan Pusat Kecemerlangan oleh Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI). 

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Bryan Lin berkata pensijilan itu mengiktiraf perkhidmatan kardiologi, gastroenterologi dan pediatrik SJMC, sebagai tambahan kepada pensijilan sedia ada bagi onkologi.

Beliau berkata selepas 40 tahun, SJMC telah menjadi hospital swasta tertiari terkemuka, yang mengubah penjagaan dan terus menambah baik amalan mereka bagi menyediakan penjagaan kesihatan menyeluruh dan berasaskan nilai komprehensif. 

"Empat pensijilan Pusat Kecemerlangan ini memperakui dan mengesahkan pendekatan pasukan pelbagai disiplin kami, yang menumpukan usaha kepada menambah baik aspek kesejahteraan dan kesihatan pesakit secara menyeluruh untuk pengalaman penjagaan kesihatan lebih berkesan serta cekap. 

"Kami berbangga menjadi hospital swasta pertama di Asia-Pasifik menerima empat pensijilan Pusat Kecemerlangan ACHSI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Lin menekankan bahawa pensijilan itu mewakili komitmen mereka untuk penambahbaikan yang berterusan, memajukan sains perubatan dan memastikan setiap pesakit menerima rawatan bertaraf dunia dengan ketenangan fikiran sepenuhnya. 

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Simon Fellows pada majlis pensijilan baru-baru ini, mengucapkan tahniah kepada SJMC dan menyatakan bahawa akreditasi itu mengesahkan SJMC memenuhi piawaian penjagaan kesihatan antarabangsa tertinggi.  

"Australia berbangga untuk menyokong reputasi Malaysia yang semakin meningkat dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan dan kami berharap dapat mengukuhkan perkongsian penjagaan kesihatan antara kedua-dua negara," katanya. 

Proses penilaian ACHSI mengikut piawaian EQuIP7 Core and Ambulatory Standards menggunakan EQuIP7 Resource Guide bersama Advanced Person-Centred Systems (PCS) Module Guide.

SJMC dinilai berdasarkan kriteria utama seperti pengalaman pesakit, pengurusan korporat, kecekapan tenaga kerja, hasil boleh diukur dan nilai penjagaan keseluruhan, memastikan organisasi tersebut diiktiraf memenuhi piawaian penjagaan kesihatan tertinggi.

Pengarah Eksekutif ACHSI dan Perundingan Louise Cuskelly mengucapkan tahniah kepada SJMC atas pencapaian itu, yang mengiktiraf kepimpinan SJMC sebagai peneraju dalan penjagaan kesihatan serantau, terutama dalam bidang hasil klinikal, pengalaman pesakit, tadbir urus dan inovasi.

Pencapaian terkini itu meningkatkan rekod kecemerlangan SJMC yang turut merangkumi pentauliahan oleh Joint Commission International (JCI) sebanyak tiga kali, dan enam kali pentauliahan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH). 

SJMC juga merupakan satu daripada empat finalis untuk Program Hospital Pelancongan Perubatan Utama 2023–2025, inisiatif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan disokong Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelancongan perubatan. 

Perkhidmatan pelbagai disiplin SJMC menerima pengiktirafan global, termasuk Newsweek’s World’s Best Hospitals 2025 dan Best Specialised Hospitals APAC 2024 baru-baru ini, dengan tujuh bidang kepakaran iaitu pediatrik, kardiologi, pembedahan jantung, onkologi, endokrinologi, neurologi dan ortopedik disenaraikan sebagai antara terbaik di rantau Asia-Pasifik. 

Selain itu SJMC juga komited untuk menawarkan teknologi dan kemudahan perubatan termaju, seperti Radixact-X9 Tomotherapy dengan Synchrony dan ExacTrac Dynamic untuk radioterapi, pengimejan jantung lanjutan dengan Sistem CARTO® 3 dan wad jagaan harian kemo pediatrik canggih. 

Inovasi ini membolehkan pesakit menikmati urusan penjagaan kesihatan yang lancar bermula dari saat pengesanan, kepada tempoh rawatan sehingga pemulihan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari https://subangjayamedicalcentre.com/.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan