AM

Dividen Kukuh KWSP Bukti Kepimpinaan Kerajaan MADANI Berada Di Landasan Betul - Nga

01/03/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Dividen kukuh yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menunjukkan bahawa Malaysia di bawah kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan yang betul, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Dalam memuji prestasi cemerlang KWSP, Nga berkata kestabilan politik yang dipupuk oleh kerajaan MADANI memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan ramai terhadap daya tahan ekonomi Malaysia.

Beliau turut merujuk pertumbuhan ekonomi Malaysia 5.10 peratus pada 2024, yang dianggapnya sebagai bukti pembangunan yang cukup memberangsangkan.

“Sejak kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, usaha untuk mengukuhkan ekonomi negara telah menjadi keutamaan, dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan pulangan memberangsangkan yang diisytihar KWSP hari ini, sebagai pengiktirafan terhadap dasar-dasar dan komitmen kerajaan, serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan terus dinikmati menerusi dasar-dasar yang mengutamakan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Nga berkata ini termasuk inisiatif seperti program pemilikan rumah yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu pembeli rumah kali pertama mencapai impian memiliki rumah, yang menyaksikan pemilikan rumah Malaysia meningkat kepada 76.9 peratus.

Lembaga KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen masing-masing 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion, serta 6.30 peratus untuk Simpanan Shariah yang melibatkan jumlah agihan RM10.19 bilion.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan