AM

RUU Perkhidmatan Bomba Beri Akses PBS Terima Sumber, Kepakaran JBPM - Kor Ming

05/03/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini akan membolehkan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) menerima akses kepada sumber dan kepakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata PBS itu juga akan dapat memanfaatkan sumber peralatan dan kepakaran yang dimiliki oleh JBPM, termasuk kerjasama dalam operasi khas dan latihan lanjutan. 

Beliau berkata pihaknya juga turut meningkatkan elaun bagi PBS di seluruh negara sebanyak RM5,000 setahun dengan jumlah peruntukan lebih RM3 juta, bagi mengiktiraf jasa ‘Wira Merah’ negara. 

“Kerajaan MADANI akan terus berusaha untuk memberikan, menambahkan kebajikan dan pengiktirafan motivasi kepada semua bomba sukarelawan yang berdaftar dengan JBPM,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat.

RUU itu diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju selepas dibahas 19 Ahli Parlimen. 

Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua, Nga berkata pindaan itu antara lain termasuk memperuntukkan satu seksyen baharu bagi mengelakkan imej JBPM disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab melalui kegiatan penyamaran sebagai pegawai bomba bagi tujuan penipuan (scammer).

“Sekarang ini banyak sangat scammer di luar sana, jadi di Fasal 14 kita masukkan seksyen baharu iaitu 50a ke dalam Akta 341 bagi kesalahan penyamaran sebagai pegawai bomba, pegawai bomba bantuan dan pegawai bomba sukarela.

“Pindaan juga melibatkan Seksyen 53 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan memakai apa-apa pakaian seragam atau apa-apa pakaian yang mempunyai tanda khas JBPM tanpa kebenaran Ketua Pengarah oleh mana-mana orang yang bukan pegawai bomba sukarela,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming dalam kenyataannya berkata pindaan akta itu dapat memartabatkan aktiviti pencegahan dan penyelamatan yang dilakukan oleh JBPM, sekali gus mempertingkatkan keselamatan rakyat.

Beliau berkata pindaan itu turut memperkemaskan peruntukan-peruntukan lama agar Akta 341 lebih relevan dengan peredaran zaman.

"Antaranya dengan meletakkan tanggungjawab kepada pemilik atau pengurus premis untuk menubuhkan suatu organisasi keselamatan kebakaran bagi memperkukuhkan usaha pencegahan,"  katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan