KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi melancarkan proses penguatkuasaan atau siasatan jenayah komersial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penggunaan teknologi itu akan dilaksanakan tidak lama lagi antaranya menerusi penggunaan chatbot bagi menganalisis keterangan dalam sesuatu siasatan.
“Penggunaan teknologi ini dijangka dapat mengoptimumkan pengurusan masa seseorang pegawai penyiasat dan memberikan fokus kepada beberapa siasatan secara sekali gus.
“Pada masa akan datang, penggunaan AI ini akan diperluas kepada pemprosesan keterangan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata JSJK yakin teknologi berkenaan boleh digunakan untuk membantu pelaksanaan beberapa peringkat siasatan antaranya analisis data forensik; analisis data atau pola kes-kes jenayah; analisis kandungan teks seperti mesej, perbualan, e-mel dan seumpamanya serta mengenal pasti transaksi kewangan yang mencurigakan.
Sementara itu, Ramli berkata bermula 1 Jan hingga 4 Mac, JSJK telah membuka 9,431 kertas siasatan kes jenayah komersial dengan nilai kerugian keseluruhan RM501,303,643 dan penipuan dalam talian menjadi penyumbang terbesar dengan 8,322 kes atau 88.2 peratus.
Beliau berkata kerugian yang dicatatkan bagi penipuan dalam talian ialah RM368.69 juta atau bersamaan 73.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian.
Jumlah kertas siasatan kes jenayah komersial yang dibuka itu juga, katanya menunjukkan peningkatan 48 peratus berbanding tempoh sama pada 2024 iaitu 6,354 kertas siasatan.
Ramli berkata jenayah telekomunikasi merekodkan 3,706 kes membabitkan kerugian RM91.3 juta, belian dalam talian melibatkan 1,690 kes (RM12 juta), penipuan pelaburan (1,338 kes, RM241.6 juta), pinjaman tidak wujud (926 kes, RM6.6 juta), penipuan e-kewangan (492 kes, RM9.6 juta) dan love scam (170 kes, RM7.6 juta).
“Mendepani peningkatan kes-kes ini, JSJK komited untuk terus melipatgandakan usaha pembanterasan dan memperkasakan tindakan penguatkuasaan melalui siasatan yang lebih berkualiti.
“Pada masa yang sama, penglibatan secara aktif setiap lapisan masyarakat amat penting bagi memastikan mesej pencegahan serta informasi jenayah komersial dapat sentiasa disebarkan dan seterusnya memastikan kewujudan persekitaran yang selamat dan terhindar daripada ancaman jenayah komersial,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial