POKOK SENA, 8 Mac (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan seorang individu yang disyaki menggunakan MyKad milik orang lain untuk melakukan pinjaman, semalam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lelaki warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan pada 7.30 petang di Kampung Pandan, Kuala Lumpur susulan tindakan pantas JPN.
“Ada seorang individu, dia muat turun dalam media sosial mengenai kehilangan MyKad beberapa tahun dulu…kemudian dia dapati bahawa ada orang lain yang menggunakan identiti dia buat pinjaman untuk pembelian peranti telefon.
“Dia telah tampil membuat laporan mengenai kehilangan MyKad dan dia syak bahawa MyKad dia telah diklon…bertindak atas aduan itu JPN melakukan risikan dan satu tangkapan ke atas suspek telah dibuat semalam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama JPN di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, siasatan awal jabatan itu telah mengenal pasti identiti sebenar suspek dan pemeriksaan badan yang dilakukan turut menjumpai sekeping lagi MyKad disyaki palsu.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan Peraturan 25(1)(o), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana menggunakan MyKad palsu sebagai pengenalan diri dan memiliki MyKad orang lain.
Menurut menteri, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan seterusnya berdasarkan siasatan ke atas suspek.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang lelaki terkejut apabila mendapati terdapat rekod pembelian iPhone 16 Promax 1 TB di sebuah kedai di Cheras, Kuala Lumpur menerusi pembiayaan pinjaman sebuah syarikat pinjaman berlesen menggunakan MyKad miliknya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata JPN menerima sebanyak 12,101 kes keciciran dokumentasi iaitu sijil lahir, sijil warganegara dan MyKad melibatkan pelajar sekolah.
Katanya JPN menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Didik meletakkan sasaran untuk menyelesaikan semua kes tersebut menjelang Jun ini bagi mengelakkan pelajar terbabit keciciran pelajaran.
“Angka 12,101 itu Kementerian Pendidikan bagi kepada kami (KDN), jadi saya minta JPN, menjelang Jun ini kena selesaikan semua kes, setakat hari ini kita telah selesaikan 4,565 kes atau 38 peratus kita telah selesaikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial