AM

Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi Perkukuh Kualiti Hidup Komuniti Setempat

13/03/2025 06:28 PM

GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dijangka dapat memberi kesan positif jangka panjang terutamanya dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat serta mengurangkan kerugian akibat bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata hal ini kerana projek itu dapat memperkukuh infrastruktur pengurusan air dan mengurangkan kekerapan kejadian banjir sekali gus melindungi lebih 6,000 penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.

“Dengan adanya sistem saliran yang lebih cekap, risiko gangguan terhadap aktiviti harian penduduk dapat diminimumkan. Selain itu, projek ini turut menyokong pertumbuhan ekonomi setempat terutamanya dalam sektor pertanian dan perumahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara kawasan yang mendapat manfaat langsung daripada projek itu ialah Bandar Tasek Kesuma, Kampung Surau, Kampung Sethu, Taman Sungai Duri Permai, Kampung Jawi, Kampung Tanjung Rambutan, Taman Merak, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Sungai Duri, Taman Jawi Permai, Taman Jawi Jaya, Pekan Jawi, Jalan Changkat, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan dan Kampung Pa Maong.

Terdahulu, Zairil berkata kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan Lembangan Sungai Jawi bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah turut menyebabkan kerosakan terhadap harta benda dan infrastruktur awam serta menjejaskan kawasan pertanian.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi.

Susulan permohonan terbabit, katanya kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM231.2 juta untuk projek berkenaan.

“Loyal Engineering Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama bagi melaksanakan reka bentuk terperinci serta pembinaan fizikal di tapak. Projek ini bermula pada 8 Feb 2024 dengan fasa reka bentuk dan dijangka siap pelaksanaan fizikal di tapak dalam tempoh empat tahun. Setakat 28 Feb lepas, projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 8.06 peratus,” katanya.

Justeru, beliau berkata bagi memastikan keberkesanan projek itu, beberapa struktur kritikal akan dibina dan dinaik taraf termasuk pembinaan rumah pam baharu untuk memudahkan aliran air keluar dari kawasan rendah bagi mengurangkan risiko banjir.

Zairil berkata kolam tadahan juga akan dibina bagi menampung lebihan air hujan bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran utama selain turut membangunkan Tidal Control Gate untuk mengawal aliran air laut ke dalam sungai sekali gus mengelakkan banjir akibat fenomena pasang surut yang tinggi.

“Pembinaan lain termasuk menaik taraf struktur sungai untuk meningkatkan kapasiti pengaliran air dan membina tebing sungai yang lebih kukuh bagi mengelakkan hakisan serta kerja-kerja pendalaman sungai bagi mengelakkan penyumbatan akibat mendapan serta mempercepat aliran air bagi meningkatkan kecekapan sistem saliran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan