AM

Video Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 Dibuat Semula, Promosi Setiap Negeri Sebaiknya - Tiong

09/01/2025 03:09 PM

PETALING JAYA, 9 Jan (Bernama) -- Video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya, dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata pihak kementerian dan agensi yang berkaitan telah diminta menghasilkan video-video promosi, dan membahagikan promosi negeri berkenaan mengikut zon, memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan hasil akhir video yang ditunjukkan kepadanya hari ini.

“Saya mahu video itu dibahagikan mengikut zon, supaya orang ramai faham, negeri ini ada apa (tarikan setiap negeri) bukan kita lompat sini, lompat sana… akhir sekali pelancong dari luar negara pun keliru, tak tahu mana satu (tarikan) di negeri itu.

“Kita promosi setiap negeri dengan teratur, saya minta semua kerajaan negeri, masing-masing bekerjasama, bekalkan kita dengan maklumat, destinasi pelancongan, produk atau pakej (pelancongan) yang baharu, atau makanan yang kita rasa paling sedap, kita boleh masukkan (dalam video) untuk dipromosi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Pelancongan (Wilayah Tengah) 2025 di sini hari ini.

Sementara itu Tiong berkata video montaj yang dipertontonkan semasa majlis pelancaran logo, maskot, lagu tema, dan reka bentuk paparan corak pada kapal terbang bagi TMM2026 Isnin lepas, bukanlah video yang akan digunakan bagi tujuan promosi.

Beliau berkata ia hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.

Tiong turut mengingatkan semua pihak terutama warganet agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman, dan berkata pihaknya terbuka untuk menerima pandangan atau kritikan membina daripada pelbagai pihak.

Video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia itu memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor) dan gereja lama di Melaka.

Semalam Tiong berkata elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang lebih terperinci dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan