AM

Operasi Tangkapan Anjing Dibuat Mengikut SOP- MBSP

09/01/2025 07:25 PM

BUKIT MERTAJAM, 9 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini memaklumkan bahawa operasi tangkapan anjing di Taman Keenways di sini dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan panas aduan anjing Seberang Perai.

MBSP memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai beberapa hantaran tular memaparkan operasi tangkapan anjing di kawasan berkenaan dan menjelaskan pasukan tangkapan MBSP terlatih menggunakan kaedah pelali yang dibenarkan selaras SOP Penangkapan dan Pelupusan Anjing di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kaedah-kaedah itu turut seiring dengan peruntukan yang terkandung dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Kod Amalan Kebajikan Haiwan Aktiviti Kawalan Haiwan Terbiar Serta Pengurusan Tempat Kurungan dan Perlindungan Haiwan.

“Setiap penggunaan, rekod dan pemantauan pelali diselia sepenuhnya oleh doktor veterinar berdaftar MBSP mengikut perkadaran yang sesuai supaya tidak mendatangkan kesan sampingan kepada haiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBSP menjelaskan tiada elemen kekejaman, kekerasan mahu pun penganiayaan sepanjang proses tangkapan dan kesemua anjing itu selamat dihantar untuk transit di Paun Simpanan Haiwan MBSP selepas operasi tamat.

Mengikut kenyataan itu, sepanjang keberadaan haiwan tangkapan di paun, makan dan minum serta kebajikan haiwan berkenaan dijaga, dan petugas paun akan membersihkan kandang secara rutin.

Terdahulu seorang pengguna Facebook telah memuat naik beberapa hantaran gambar dan video yang mendakwa tindakan MBSP tidak berperikemanusiaan ketika menjalankan operasi menangkap anjing liar sebelum ia menjadi tular dan menerima kritikan orang ramai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan