KAPIT, 10 Jan (Bernama) -- Lebih 2,000 penduduk di Perkampungan Baleh, Nanga Benin, Nanga Pelagus, dan Pelagus Resort bakal menerima manfaat apabila projek jalan baharu di kawasan tersebut siap pada April 2027.
Projek pembinaan jalan sepanjang tujuh kilometer membabitkan dua buah jambatan itu menelan belanja kira-kira RM70 juta yang ditender semula untuk dilaksanakan oleh kontraktor penyiap setelah kontraktor asal telah ditamatkan kontraknya.
Majlis pecah tanah Projek Jalan Baharu Jambatan Baleh/ Rh. Belaja, Ng Benin/ SK. Ng. Pelagus/ Pelagus Resort di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) (Sub: Upper Rajang Development Agency) - Fasa 1, Seksyen 1 telah diadakan pada hari ini.
“Meskipun jarak pembinaan jalan bagi projek ini agak pendek, ia memerlukan peruntukan yang besar dan tempoh masa selama tiga tahun kerana bentuk permukaan muka bumi di kawasan berkenaan agak mencabar,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan.
Apabila siap kelak, projek itu akan menyempurnakan beberapa lagi projek lain yang turut dijalankan di kawasan sekitar termasuk oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Ini katanya akan memudahkan rakyat yang ketika ini terpaksa menggunakan laluan balak kerana perkampungan di kawasan itu yang agak terpencil.
Beliau menasihati kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan projek dengan sempurna dalam tempoh ditetapkan dan mengelak daripada untuk membuat extension of time (EoT) sekali gus membantu menjimatkan kewangan kerajaan.
“Sebagai Ahli Parlimen Kapit merangkap Pengerusi URDA, saya akan memastikan beberapa lagi projek pembinaan infrastruktur dan jalan raya di bawah URDA mendapatkan peruntukan yang sepatutnya bagi menyempurnakan jaringan jalan di kawasan ini,” katanya.
Nanta yakin apabila beberapa projek di kawasan sekitar berjaya disiapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun ini, ia akan memberi sumbangan besar kepada penduduk Kapit hinggalah ke Belaga.
Turut hadir, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial