AM

Mpox: KKM Kenal Pasti Satu Kes Baharu

11/01/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau Mpox dilaporkan semalam, melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 24 tahun.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pesakit berkenaan terlibat dalam aktiviti berisiko dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari.

“Pesakit telah mendapatkan rawatan pada 10 Jan, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Mpox di negara ini sebanyak 12 kes sejak Julai 2023, melibatkan sembilan kes pada 2023, dua kes pada 2024 dan satu kes tahun ini dengan kesemua kes merupakan clade II. 

Virus Mpox clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus manakala clade II mempunyai kadar kematian lebih rendah.

Menurut KKM, pihaknya terus memantau situasi Mpox di dalam serta luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan rasmi terus daripada saluran sahih dengan mengikuti akaun media sosial KKM dan soalan lazim (FAQ) berkenaan Mpox boleh dicapai di pautan mpox.moh.gov.my/ms/soalan-lazim,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan