JENAYAH & MAHKAMAH

Bom UXO Tinggalan Perang Dunia Kedua Di Semporna Dimusnahkan

12/01/2025 01:48 AM

SEMPORNA, 11 Jan (Bernama) -- Sebuah objek yang ditemui di perairan Pulau Sibuan pada 7 Jan lepas dikenal pasti sebagai bom lama atau unexploded ordnance (UXO) tinggalan Perang Dunia Kedua.

Bom itu berjaya dimusnahkan oleh pasukan penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 3.10 petang tadi.

Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan penyelam ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Lumut bersama MAWILLA 2 diatur gerak untuk melaksanakan operasi pemusnahan bom itu bermula semalam.

"Bom UXO telah berjaya dimusnahkan dengan menggunakan kaedah Blow in Place (BIP), iaitu suatu kaedah pemusnahan di lokasi penemuan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan yang tertinggi dan tiada sebarang kerosakan harta benda dan alam sekitar marin dilaporkan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, UXO berukuran 3 kaki panjang dan 1 kaki lebar itu dipercayai bom tinggalan perang sekitar 1945 dengan berat 250 kilogram.

"Penyelam Ranjau TLDM mengesahkan UXO berkenaan adalan Jenis Aerial Bomb iaitu sejenis bom yang dilepaskan oleh pesawat udara.

"TLDM turut mendapat kerjasama daripada agensi keselamatan iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan