AM

Persiapan Sempena Ponggal, "Little India" Di Brickfields Jadi Tumpuan

12/01/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Seperti kelaziman, 'Little India' di Brickfields sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan pelbagai keperluan sebagai persiapan akhir menyambut pesta menuai atau Ponggal pada Selasa ini.

Tinjauan Bernama mendapati barangan yang diperlukan semasa upacara sambutan perayaan itu seperti tebu, susu, gula perang, bunga, daun mangga, buah-buahan dan belanga tanah liat banyak ditawarkan di situ dan dijual pada harga berpatutan.

Suri rumah K. Rukmani, 55, berkata hujung minggu ini merupakan peluang terakhirnya untuk keluar membeli barangan keperluan dan membuat persiapan bagi menyambut Ponggal kerana anak-anaknya akan mula sibuk berkerja esok.

“Ini minggu terakhir sebelum Ponggal, jadi saya minta anak bawa saya keluar beli barang keperluan sebelum mereka sibuk dengan kerja esok. Saya mahu pastikan semua sudah tersedia untuk sambutan pada Selasa ini,”katanya. 

Rukumani berkata semua barangan keperluan yang diperlukan untuk sambutan itu seperti belanga tanah liat, gula, susu, tebu dan buah-buahan mudah diperoleh di kawasan itu kerana ramai peniaga menjualnya.

“Di sini banyak kedai yang menjual barangan keperluan ini, jadi saya boleh bandingkan harga dan dapatkan barang pada harga yang berpatutan,” katanya yang akan menyambut Ponggal di rumahnya sahaja tahun ini bersama keluarga.

Peniaga kedai runcit, M.Segar,54, pula berkata jualannya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sempena hujung minggu terakhir sebelum Ponggal disambut lusa. 

“Kesemua barangan tersebut laris dijual pada musim ini dan kebanyakkan orang datang membeli barangan pada waktu petang sehingga malam,” katanya.

Seorang lagi peniaga M.Valarselvam, 48, pula berkata setiap kali menjelang perayaan Ponggal, dia dan anaknya mengambil peluang menambah rezeki dengan membuka gerai menjual pelbagai jenis daun yang diperlukan untuk perayaan tersebut.

"Kami buka gerai selama dua hari sebelum tibanya perayaan Ponggal pada setiap tahun. Biasaanya ramai pelanggan datang beli daun ini untuk digunakan pada upacara sembahyang dan bagi menghiasi rumah sempena perayaan itu," katanya.

Peniaga pakaian tradisional yang hanya mahu dikenali sebagai Subash, 33, berkata ramai pelanggan datang membeli pakaian baharu untuk menyambut Ponggal, yang menandakan permulaan bulan ke-10 dalam kalender Tamil, dikenali sebagai 'Thai'.

"Ramai yang datang beli baju, sari dan sebagainya terutama pada hujung minggu ini," katanya.

Bagi peniaga bunga yang hanya mahu dikenali sebagai Saro, 32, pula berkata jualan setakat hujung minggu ini agak perlahan namun dijanga akan meningkat esok memandangkan perayaan itu hanya akan disambut lusa.

"Hari ini jualan agak sama seperti hari biasa tetapi ada juga yang masih datang untuk membeli bagi upacara sembahyang bulan penuh (Pournami) esok, mungkin ramai risau bunga yang mereka beli hari ini akan cepat layu dan tidak dapat kekal mekar hingga Selasa ini," katanya.

Ponggal disambut oleh masyarakat India dengan menyediaan nasi manis untuk keluarga dan rakan-rakan sebagai tanda berterima kasih atas hasil tuaian yang melimpah-ruah serta bagi memohon kemakmuran. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan