POLITIK

PKR Sabah Yakin Isu Jawatan Pengerusi PH Negeri Tak Ganggu Kerjasama Hadapi PRN Sabah

21/01/2025 11:06 PM

IPOH, 21 Jan (Bernama) -- PKR Sabah yakin isu jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan menjejaskan semangat dan kerjasama gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun ini.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, berkata isu berkenaan adalah bersifat teknikal dan keputusan mengenai jawatan tersebut perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH, yang merupakan jawatankuasa tertinggi gabungan itu dan dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah, serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

"Apa jua keputusan yang dibuat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, perlu melalui Majlis Presiden. Perkara yang sama juga perlu dilakukan jika ia melibatkan sebarang perbezaan antara parti dalam gabungan PH," katanya.

“Setakat ini, belum ada sebarang kata putus Majlis Presiden berhubung hal yang berlaku. Kita sebagai pimpinan di peringkat negeri akan akur dengan segala keputusan,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi lawatan kerja di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, hari ini.

Pada Disember lepas, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, telah dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah bagi penggal 2024 hingga 2026.

Bagaimanapun, pada 12 Jan lepas, media melaporkan PKR Sabah tetap mahukan jawatan Pengerusi PH yang kini disandang oleh Ewon, supaya jawatan tersebut kekal disandang oleh parti berkenaan seperti sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan