AM

Kerajaan Selangor Anjur Sambutan Tahun Baharu Cina Pada 8 Feb Di Jenjarom

22/01/2025 10:28 PM

KUALA LANGAT, 22 Jan (Bernama) -- Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat negeri Selangor anjuran kerajaan negeri akan diadakan di pekarangan tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jenjarom di sini pada 8 Feb ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis yang dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung.

Beliau berkata sambutan dengan kerjasama Invest Selangor Bhd itu juga diadakan bersempena dengan Pesta Tanglung dan Pameran Bunga-Bungaan yang bermula pada 25 Jan hingga 12 Feb meliputi kawasan seluas 15 hektar di situ. 

“Sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan ini melambangkan semangat muhibah, kemajmukan dan kebersamaan rakyat Selangor yang terbuka serta inklusif dalam meraikan perayaan di Malaysia.

“Antara tarikan utama ialah 'tanglung raksasa' berukuran 22 meter yang diinspirasikan daripada Legenda Ular Putih selain turut dipamerkan 'tanglung Selangor' berukuran 28 kaki yang mengambil tema Tahun Ular kali ini,” katanya pada sidang media Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat negeri Selangor di sini hari ini. 

Ng berkata tarikan lain yang disediakan antaranya termasuklah Taman Lumbini yang dikelilingi paparan orkid indah dan kolam ikan koi selain seluruh kawasan dihiasi tanglung merah, lampu LED dan struktur 3D berwarna-warni.

Beliau berkata sebanyak 3,000 tempat letak kereta percuma disediakan di pekarangan rumah ibadat itu bagi memudahkan orang ramai menghadiri sambutan berkenaan.

Sambutan dibuat dalam dua sesi, iaitu sesi pertama bermula pada 5.30 petang manakala sesi kedua pula pukul 8.30 malam, katanya 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan