DUNIA

Arab Saudi Rancang Pelaburan Us$600 Bilion Untuk Tingkatkan Hubungan Dengan AS

23/01/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Arab Saudi merancang untuk meluaskan pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat tahun akan datang yang dianggarkan bernilai US$600 bilion dan mungkin lebih daripada itu.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), perkara itu antara topik yang dibincangkan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman semasa panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada petang Rabu.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peluang kerjasama antara Arab Saudi dan AS untuk menggalakkan keamanan, keselamatan, dan kestabilan di Timur Tengah selain meningkatkan kerjasama dua hala untuk memerangi keganasan.

Mereka juga membincangkan cara untuk mengeratkan hubungan dalam pelbagai bidang, dan Putera Mahkota menekankan keupayaan pentadbiran AS untuk mencipta kemakmuran dan peluang ekonomi yang tidak pernah berlaku melalui pembaharuan yang dijangka di Amerika Syarikat.

Beliau menambah bahawa Kerajaan Arab Saudi berhasrat untuk turut serta dalam peluang perkongsian dan pelaburan ini.

Semasa panggilan itu, Putera Mahkota turut berkenan menyampaikan ucapan tahniah daripada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Presiden Trump atas pelantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat. Beliau turut mendoakan rakyat Amerika mencapai lebih banyak kemajuan dan kemakmuran di bawah kepimpinan Trump.

Sementara itu, Trump menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Penjaga Dua Masjid Suci dan Putera Mahkota atas ucapan tahniah mereka. Beliau menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan Arab Saudi dalam semua perkara yang memberi manfaat kepada kepentingan kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan