PONTIAN, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha memastikan bekalan air bersih yang stabil dapat dinikmati oleh rakyat menerusi pelaksanaan projek pemasangan sistem paip baharu menggantikan paip-paip lama di seluruh Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata inisiatif itu dijalankan secara berterusan, kerana jumlah paip lama dan uzur yang perlu diganti melibatkan lebih 6,000 kilometer (km).
“Bagaimanapun, berdasarkan peruntukan yang ada, kita cuma mampu membaiki 200 hingga 250km paip setahun.
“… nak habiskan 6,000km ini memerlukan masa sehingga 30 tahun, malah dalam kita membaiki paip lama, yang telah dibaik pulih pun mungkin sudah perlu dibaiki semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pembekalan air yang sempurna penting dalam usaha memastikan kehidupan rakyat lebih selesa selain meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.
Sementara itu, Fazli berkata projek pemasangan paip baharu dari Benut, Pontian ke Rengit, Batu Pahat sepanjang 8.7km bernilai RM7.6 juta akan memberi manfaat bekalan air yang stabil bagi penduduk yang kerap menghadapi masalah khususnya ketika waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti persekolahan.
Beliau berkata usaha itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk menunaikan inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2025 tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial