AM

Jemaah Menteri Putus Batalkan Projek Rintis WBB - Dzulkefly

24/01/2025 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segala pertimbangan. 

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Abu Bakar Suleiman,” katanya menerusi kenyataan.

Dzulkefly berkata terma-terma rujukan jawatankuasa itu terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.

"KKM akan meneruskan usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutamanya petugas kesihatan," katanya.

Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM untuk menarik balik WBB serta-merta dengan dakwaan WBB dibangunkan tanpa penglibatan pihak berkepentingan utama.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan