AM

Sabah Perkasa Industri Pelancongan Melalui Pemeliharaan Warisan Budaya, Alam Sekitar

25/01/2025 06:20 PM

PAPAR, 25 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan mempergiatkan usaha menambah baik pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar bagi memacu dan memperkasakan industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program serta projek pembangunan pada tahun ini.

Beliau berkata usaha menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan meningkatkan produk pelancongan adalah selaras dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan kedatangan lebih 35 juta pelancong.

"Walaupun Sabah menyasarkan 3.7 juta pelancong (tahun ini), namun sebagai persediaan untuk TMM 2026, kita mesti bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini. Justeru, pemain industri harus sedia dan lebih kreatif untuk menambah produk baharu pelancongan.

"Industri pelancongan negeri ini memerlukan lebih banyak produk baharu yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan Sabah mempunyai pelbagai sumber pelancongan yang boleh dipelbagaikan sama ada berasaskan flora dan fauna mahupun khazanah budaya serta warisan etnik negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut di sini hari ini.

Hajiji menyeru pemain industri supaya meneroka idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan menarik bagi memastikan Sabah terus menjadi pilihan pelancong.

Kompleks Kebudayaan Sabah yang melibatkan pembinaan dua komponen utama, iaitu Kampung Budaya dan Pusat Kebudayaan akan menjadi produk pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman unik dan inovatif.

Beliau berkata kompleks itu akan melengkapi pusat kebudayaan sedia ada di negeri ini termasuk Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, dan Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan