BALIK PULAU, 25 Jan (Bernama) -- Sebanyak 22 daripada 39 penduduk setinggan di Permatang Damar Laut, Batu Maung menerima serahan kunci unit kediaman Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A di bawah Skim Perumahan Pangsapuri Idaman Prestij (K-Park) di Kampung Bagan Air Hitam di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S. Sundarajoo berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) menyediakan rumah pampasan itu bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Beliau berkata setiap unit rumah berharga RM42,000 dan kos itu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik tanah iaitu Allstar Icon Sdn Bhd.
“LPNPP menyediakan rumah pampasan di bawah skim yang terdiri daripada empat blok 15 tingkat di lokasi berkenaan, dan hari ini penduduk berkenaan menerima kunci rumah masing-masing.
“Kos rumah ditanggung oleh pihak pemilik tanah, tetapi penerima unit rumah pampasan tetap perlu membayar yuran penyelenggaraan RM110 sebulan dan deposit RM2,534 sebagai sebahagian daripada yuran itu,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan kunci replika di Dewan Orang Ramai K-Park di sini hari ini.
Sundarajoo berkata unit kediaman RMKu di Skim K-Park dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta bertingkat, taman permainan dan dewan orang ramai.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan penyediaan 220,000 Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang tahun 2030, dan setakat ini 74.33 peratus atau 163,310 unit kediaman telah dibina.
“Selain itu, sasaran kedua kita ialah menyediakan 22,000 unit kediaman RMM melalui skim sewa beli (RTO) dan sehingga kini 4,534 unit atau bersamaan 20.85 peratus telah siap.
“Sasaran ketiga pula ialah menyediakan manfaat kepada 3,000 keluarga melalui Skim Pembaharuan Semula Bandar yang melibatkan pencapaian 6,021 unit kediaman dalam lima projek perintis LPNPP,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial