SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor kemungkinan melaksanakan audit dan siasatan dalaman ke atas semua agensi kerajaan di negeri itu bagi mengenal pasti jabatan lain yang terbabit dengan isu pindah milik tanah menerusi sistem dalam talian (e-Tanah) secara tidak sah.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut bagi menangani isu pindah milik tanah berkenaan secara menyeluruh.
“Kita akan laksanakan (audit) sebab timbul perkara ini (isu pindah milik secara tidak sah).
“Kita terima saranan (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial - JSJK Bukit Aman) itu dan akan semak kemungkinan melaksanakan audit di jabatan lain supaya boleh kenal pasti ada berlaku atau tidak perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Semalam Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang perlu mengendalikan audit serta siasatan dalaman untuk menentukan jika ada pejabat sama di daerah lain turut terbabit kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah.
Beliau berkata pihak polis bersedia untuk menjalankan siasatan jika ada bukti atau maklumat mengaitkan PDT lain dengan kes jenayah tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan memperketatkan prosedur operasi standard melibatkan sistem e-Tanah bagi mengesan sebarang salah laku khususnya kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
“Selepas ini (pengguna sistem) wajib untuk mendaftarkan username supaya kita dapat mengesan dan mengenal pasti siapa yang masuk dalam sistem, bila masa serta sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan 'orang dalam' di PTD Klang dan 17 individu ditahan sejak September lepas disyaki terlibat dalam kartel tersebut membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Datuk Dr Yusri Zakariah pada 21 Jan lepas mengesahkan tujuh warga PDT Klang merupakan antara 17 penjawat awam yang ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.
Beliau berkata semua tujuh petugas terbabit sudah dipindahkan ke jabatan lain yang tidak melibatkan urusan berkaitan kerja tanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial