MACHANG, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan RM250,000 kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan bagi membangunkan Kem Wawasan di kampus Machang sebagai kawasan pelancongan untuk aktiviti riadah dan rekreasi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata pemilihan universiti berkenaan berdasarkan elemen pelancongan yang boleh diketengahkan berikutan kesesuaian faktor geografi untuk aktiviti seperti riadah, rekreasi dan berkhemah sekali gus boleh meningkatkan ekonomi pelancongan penduduk setempat.
"Kem Wawasan ini akan ada pelbagai aktiviti seperti riadah serta rekreasi, bukan untuk kegunaan para pelajar sahaja tetapi penduduk setempat dan pelancong dari dalam atau luar negara juga boleh datang ke tempat berkenaan.
"Kita sangat meraikan sumbang saran pemimpin mahasiswa dalam usaha memacu sektor pelancongan yang berdaya saing dan lestari demi pembangunan sosioekonomi negara," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2024 UiTM Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan universiti awam untuk menggalakkan aktiviti berkaitan pelancongan, kebudayaan dan kesenian.
"Jika sebelum ini kita telah bekerjasama dengan beberapa universiti awam seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak untuk aktiviti berkaitan kebudayaan dan sebagainya.
"Justeru, tahun ini kita bercadang untuk pergi ke universiti yang lain bagi membantu meningkatkan kemudahan pelancongan di kawasan mereka," katanya.
Pada majlis itu, pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Adam Mansor dinobatkan Tokoh Siswa 2024 UiTM Cawangan Kelantan.
Selain itu, dua atlet negara iaitu Wan Nurain Fakhira Wan Azli dan Aisyah Umairah Mohd Rosbi yang memenangi pingat perak pada Sukan Universiti ASEAN 2024 bagi kategori Ganda Putri pula menerima Anugerah Pesilat UiTM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial