Oleh Nur Afiradina Arshad
IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat selain membantu mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), terutama pada musim perayaan.
Pengusaha inap desa di Gopeng Noradidah Mokhtar, 60, berkata jajaran WISE akan menjadi laluan alternatif yang lebih selesa bagi pengguna jalan raya dari utara yang ingin bercuti di Perak, kerana lebuh raya itu menghubungkan pelbagai destinasi pelancongan menarik seperti Kellie's Castle dan Kapal Korek Bijih Timah TT5.
“Destinasi pelancongan di Gopeng hanya terletak kira-kira tujuh kilometer dari jajaran WISE. Ini akan memberi kesan positif kepada industri pelancongan Perak. Namun, lebih banyak papan tanda pelancongan perlu disediakan bagi memudahkan pelancong ke lokasi tersebut.
"Selain itu, matlamat utama pembinaan lebuh raya ini adalah untuk mengurangkan kesesakan trafik di Terowong Menora, yang sering berlaku terutama pada waktu puncak,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pembinaan Projek Lebuhraya WISE dengan kos RM6.2 bilion dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya PLUS bagi laluan Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak sehingga 40 peratus dan dijangka siap pada 2028.
Lebuhraya sepanjang 60.88 kilometer ini dibangunkan secara penswastaan dan melibatkan enam persimpangan, iaitu dua di Kuala Kangsar, satu di Jerlun, satu di Siputeh, serta dua lagi di Gopeng.
Pemandu van pelancong, Azizee Ishak, 37, berkata lebuh raya ini diharapkan dapat memudahkan dan mempercepatkan perjalanan pelancong, terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.
“Setiap kali membawa pelancong dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, saya perlu melalui Terowong Menora, yang sering sesak kerana banyak lori turut menggunakan laluan itu. Dengan adanya laluan baharu ini, saya berharap perjalanan akan menjadi lebih lancar,” katanya yang pernah terperangkap selama dua jam di laluan tersebut.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Sazairizan Mohd Zain, 38, yang menggunakan Lebuhraya PLUS sejak 2016, bersyukur kerana jajaran WISE akan menjadi laluan alternatif yang lebih mudah baginya berulang-alik dari Gopeng ke Taiping.
“Pernah sekali saya terperangkap selama enam jam akibat kemalangan treler berhampiran Terowong Menora yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Insiden itu berlaku sewaktu saya dalam perjalanan ke tempat kerja dan menyebabkan saya lewat sampai.
“Boleh dikatakan setiap hari pasti ada lori yang rosak berhampiran kawasan tersebut dan perkara seperti ini bagi saya menyukarkan perjalanan dan bahaya kepada pengguna jalan raya dan apabila adanya alternatif lain seperti WISE, ini memudahkan kami,” katanya.
Pengusaha kerepek Muhamad Hijan Jamaluddin, 26, pula berkata kesesakan trafik memang sering berlaku sewaktu melalui Terowong Menora kerana struktur jalan raya di kawasan itu berbukit dan pergerakan kenderaan agak perlahan.
“Setiap kali saya menghantar stok kerepek ke utara, saya menggunakan laluan PLUS kerana ia lebih cepat dan mudah. Namun, lori yang saya pandu bergerak perlahan ketika mendaki kawasan Terowong Menora.
"Keadaan ini turut menjejaskan pergerakan kenderaan ringan di belakang saya, sekali gus menyebabkan kesesakan. Lori saya hanya tiga tan pun lambat, apatah lagi berpuluh-puluh lori kontena lain, pasti lebih teruk kesannya,” katanya ketika ditemui Bernama.
Muhamad Hijan berkata kesesakan bukan sahaja disebabkan oleh pergerakan kenderaan berat, tetapi juga faktor kemalangan dan kerja penyelenggaraan lebuh raya, yang memberi impak besar kepada pengguna jalan raya lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial