AM

PKR Selar Kenyataan Rafidah Berkaitan Usaha Kerajaan Bantu Rakyat Palestin

31/01/2025 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR hari ini menyelar kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz mengenai langkah kerajaan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

Pengarahnya Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan berkata sebagai seorang tokoh yang berpengalaman dalam hubungan antarabangsa, Rafidah tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana desakan antarabangsa, khususnya penyelesaian dua negara walau telah diputuskan diperingkat PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). ⁠Oleh yang demikian kenyataan Tan Sri Rafidah seolah-olah menunggu kucing bertanduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Amidi turut menyentuh situasi tragis yang berlaku di Gaza dengan mengingatkan dalam edisi terbaru peperangan Hamas-Israel, apabila rejim Zionis telah menyerang semua kemudahan awam termasuk masjid, sekolah dan hospital.

“Ada kemungkinan tidak pernah terlintas di media sosial beliau, solat hari raya dilakukan dalam runtuhan sebuah bangunan. Malah para doktor perubatan ditangkap atau terbunuh ketika hospital dibom. ⁠Di manakah rasa kasihan belas Tan Sri?,” katanya.

Malaysia sebelum ini mengumumkan pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza menjadikannya negara ASEAN pertama yang mengambil inisiatif membangunkan semula wilayah itu.

Projek berimpak tinggi itu berada di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka dilancarkan selepas Ramadan ini.

-- BERNAMA

 

 


S


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan