Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran
KUALA TERENGGANU, 31 Jan (Bernama) -- Bukan semua wira memakai pakaian seragam.
Meskipun tidak mempunyai latihan formal dalam kerja menyelamat, seorang bekas kontraktor Mazlan Mamat, 62, sanggup berkorban masa, tenaga dan harta benda bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dalam misi mencari dan menyelamat.
Memiliki dua jet ski, Mazlan antaranya terlibat dalam kerja mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Batu Buruk di sini pada Februari tahun lepas bersama anak lelakinya.
Menurut Mazlan, jenteranya itu sentiasa berada dalam mod tunggu sedia atau standby bagi membantu kerja mencari dan menyelamat sekiranya diperlukan, selain digunakannya untuk aktiviti sukan air.
“Pertamanya saya minat laut, kedua saya anggap ini amal jariah dan ketiga saya ada kemudahan jet ski. Ini sebab kenapa saya terpanggil untuk buat perkara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Atas jasanya itu, JBPM Terengganu menganugerahi Mazlan dan lapan lagi individu lain di negeri itu dengan sijil penghargaan sempena Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu 2025, baru-baru ini.
Bagi Abdul Talib Hitam, 54, setiap kali banjir berlaku, dia akan menyerahkan satu daripada dua bot fiber miliknya kepada Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Dungun untuk kerja pemindahan mangsa banjir di sekitar kampungnya iaitu Kampung Nyior ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kalau sebelum ini saya pun akan turut serta bantu, tetapi sejak banjir November tahun lepas, saya tidak dapat turun membantu secara fizikal kerana masalah kesihatan disebabkan kencing manis, masalah saraf dan penglihatan yang kabur,” katanya yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Dalam pada itu, seorang pekerja ladang Mohd Azwan Mohd Ghazali, 35, menggunakan jentera pengorek (excavator) miliknya bagi membantu JBPM memadam kebakaran tanah gambut di Kampung Tok Kah, Dungun tahun lepas.
Meskipun berasa bimbang berhadapan api yang marak, namun Mohd Azwan berkata tiada kata dapat menggambarkan kepuasannya apabila berjaya membuka laluan untuk jentera bomba masuk ke kawasan kebakaran menggunakan jentera miliknya itu.
“Kira-kira dua kilometer jalan yang saya buka untuk mudahkan akses bomba selama kira-kira sebulan kebakaran. Selain itu, saya juga korek parit di ladang untuk bekalkan air kepada petugas ketika kerja pemadaman api.
“Saya bantu sebab itu kampung saya dan kebakaran itu kalau dibiarkan mungkin boleh merebak ke rumah penduduk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial