AM

Pembekal Buntu Buah Kelapa Kurang Menjelang Thaipusam

31/01/2025 10:10 PM

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- Seorang pembekal utama buah kelapa di Pulau Pinang mendakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit menjelang perayaan Thaipusam susulan masalah pengeluaran hasil komoditi berkenaan.

P. Sarasvathy, 66, berkata masalah itu berpunca daripada tanaman pokok kelapa di tiga ladang yang dipajak di Perak iaitu Bagan Datoh, Pantai Remis dan Kuala Bernam tidak menjadi hingga menyebabkan ia tidak mengeluarkan hasil seperti kebiasaan.

“Jika diikutkan tahun-tahun sebelum ini, saya boleh bekalkan 80,000 hingga 100,000 biji untuk Thaipusam, tapi tahun ini saya tidak dapat penuhi permintaan pelanggan.

“Malah saya langsung tidak mengambil tempahan. Ramai pelanggan termasuk pelanggan tetap telefon nak tempah, tapi saya terpaksa tolak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di premisnya di Lorong Abu Siti di sini hari ini.

Sarasvathy berkata ini adalah kali pertama dia dan suami A. Anbarasan, 71, berdepan masalah sedemikian sejak memulakan perniagaan itu kira-kira 40 tahun lepas.

Beliau berkata sebelum ini, dua minggu menjelang Thaipusam enam pekerjanya sudah sibuk menyiapkan tempahan pelanggan, tetapi kali ini semuanya berubah. 

Ibu kepada tiga anak itu berkata isu berkenaan mula disedari sejak Mei tahun lepas, apabila berlaku penurunan ketara terhadap pengeluaran hasil buah kelapa dan ia berlarutan hingga ke hari ini.

Beliau berkata ketika ini setiap tandan buah kelapa hanya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya lima biji berbanding sekitar 20 biji sebelum ini.

“Jika dulu setiap dua hari boleh tuai 10,000 hingga 15,000 biji tetapi sekarang 2,000 hingga 2,500 biji saja. Saya ada juga cuba dapatkan bekalan daripada pemborong di Kelantan tapi mereka pun bagitahu tidak cukup (bekalan),” tambahnya.

Sarasvathy berkata bekalan terhad itu hanya mencukupi untuk kegunaan harian di kedai santan yang diusahakan di Jelutong dan Taiping, Perak serta beberapa premis santan lain sekitar bahagian pulau yang adalah pelanggan tetap mereka.

Beliau berkata 18,000 biji akan dihantar ke Kuil Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga, kerana dia adalah pembekal utama kepada kuil itu setiap kali sambutan Thaipusam.

“Saya pun tak pasti apa punca sebenar kepada masalah ini. Kalau dilihat pokok itu, nampak elok dan sihat tetapi hasilnya sahaja yang berkurangan. Saya juga buntu memikirkan masalah ini kerana ia tak pernah terjadi,” katanya, yang turut memberitahu keseluruhan ladang mempunyai kira-kira 420,000 batang pokok.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N. V Subbarow berkata isu berkaitan bekalan buah kelapa bukan perkara baharu, malah hasil tinjauan pihaknya mendapati bekalan berkurangan di kebanyakan tempat hingga menyebabkan harga sebiji naik mendadak.

“Bagi buah kelapa tempatan, hari ini harga boleh mencecah sehingga RM3.90 sebiji manakala RM3 sebiji bagi buah kelapa yang diimport dari Indonesia.

“Justeru, CAP mencadangkan supaya kerajaan dapat mengawal harga buah kelapa khususnya ketika perayaan Thaipusam kerana ketika ini permintaan adalah tinggi dan kita bimbang harga mungkin akan naik lagi jika tidak dikawal,” katanya.

Beliau berkata penganut Hindu juga dinasihatkan untuk mengurangkan jumlah buah kelapa yang dipecahkan bagi mengelakkan pembaziran.

 Mengenai isu penurunan hasil buah kelapa, Subbarow berkata ia berkemungkinan berlaku disebabkan oleh faktor cuaca, sekali gus berharap tindakan susulan dapat diambil oleh agensi berkaitan seperti pihak Jabatan Pertanian dalam menangani isu berkaitan masalah kesihatan pokok kelapa supaya hasil dapat dituai seperti kebiasaannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan