AM

SIRIM Lantik Pemangku Ceo SIRIM QAS International, SIRIM Calibration Baharu

31/01/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- SIRIM Berhad (SIRIM) hari ini mengumumkan pelantikan Md Adha Rahmat sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International yang baharu, sementara Nagyb Shah Abdul Rahim Shah sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Calibration.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan bagi menerajui anak syarikat pensijilan, pemeriksaan dan pengujiannya serta anak syarikat cabang penentukuran dan pengukuran itu berkuat kuasa 1 Februari (esok).

“Saya mengalu-alukan kedua-dua eksekutif yang kuat dan berbakat ini ke pasukan kepimpinan SIRIM. Masing-masing membawa pencapaian cemerlang dan pengalaman yang akan memberi manfaat kepada Kumpulan SIRIM, klien dan pihak berkepentingan kami,” katanya. 

Beliau dalam kenyataan sama turut menzahirkan penghargaan kepada Nur Fadhilah Muhammad atas khidmat cemerlangnya kepada SIRIM terutama kepimpinan strategiknya di SIRIM QAS International.

Md Adha sebelum ini adalah Pengurus Besar Kanan Jabatan Perkhidmatan Pengujian, menggantikan Nur Fadhilah, yang telah bersara wajib.

Berpengalaman luas dalam perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian, beliau antara penggerak utama menukar proses sistem SIRIM QAS International ke arah pendigitalan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan memperbaiki perkhidmatan pelanggan. 

Md Adha berperanan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM 55 iaitu program utama yang direka untuk membantu organisasi atau syarikat menyelaraskan perniagaan mereka dengan standard kelestarian global serta standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Juruteknologi Profesional di bawah Lembaga Teknologi Malaysia atau Malaysia Board of Technologists (MBOT) itu juga adalah lepasan Universiti Arizona, Amerika Syarikat (Sarjana Muda Sains dengan Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal.

Sementara itu, Nagyb Shah adalah Pengurus Besar Jabatan Operasi dan Teknikal, SIRIM Calibration sebelum ini, menggantikan Dr Faridah Hussain yang dilantik sebagai Ketua Metrologist di Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM).

Nagyb Shah mendapat pendidikan tinggi di Universiti Lancaster, United Kingdom (UK) dalam (Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian) Perakaunan & Kewangan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Exeter, UK.

SIRIM QAS International dan SIRIM Calibration adalah anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan