AM

Cadangan Penutupan Jalan Secara Kekal Di Banda Hilir Masih Di Peringkat Kajian

02/02/2025 10:14 AM

MELAKA, 2 Feb (Bernama) -- Cadangan penutupan jalan secara kekal di kawasan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir di sini, masih di peringkat kajian.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Kajian itu kita tidak ada tarikh yang boleh menentukan lagi pada waktu bila (penutupan secara kekal) tapi saya yakin dan percaya setelah kajian itu dibuat dan sekiranya kita rasa ia baik (ia akan dilaksanakan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jom Berkhatan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Sungai Udang di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang di sini hari ini.

Sebanyak 120 kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun menyertai program berkhatan secara percuma itu.

Rais berkata Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir yang ketika ini melibatkan penutupan sepenuhnya bermula Jumaat hingga Ahad memberi limpahan rezeki kepada masyarakat setempat terutama peniaga dengan kehadiran jumlah pengunjung yang ramai.

Ab Rauf sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri bercadang menutup sepenuhnya laluan bermula di bangunan merah Stadhuys hingga ke Menara Taming Sari dengan jarak kira-kira 2.3 kilometer sebagai langkah terbaharu mengurangkan asap kenderaan.

Ketua Menteri itu berkata ia juga untuk memelihara bangunan warisan, selain mengurangkan kesesakan aliran trafik khususnya pada hujung minggu di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan