AM

Ke Arah Kuala Lumpur Lebih Inklusif, Lestari Dan Selesa Didiami - Lee Lam Thye

03/02/2025 12:01 AM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51, orang ramai diingatkan untuk merenung kemajuan ibu negara dan terus berusaha menjadikan bandar raya ini lebih inklusif, lestari dan selesa untuk didiami.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata Kuala Lumpur bukan sahaja perlu menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, tetapi juga sebuah bandar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan generasi akan datang.

“Kuala Lumpur yang benar-benar inklusif adalah sebuah bandar dengan setiap warganya, tanpa mengira usia, latar belakang atau keupayaan, diberikan akses yang sama rata terhadap peluang dan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menekankan keperluan memastikan perumahan mampu milik dan perancangan bandar yang lebih baik untuk mengelak jurang sosioekonomi di samping meningkatkan kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di tempat awam dan sistem pengangkutan.

Lee berkata amat penting untuk menggalakkan keharmonian pelbagai budaya dengan memupuk perpaduan sosial menerusi inisiatif dan dasar yang digerakkan oleh komuniti yang mencerminkan kepelbagaian Kuala Lumpur.

Beliau juga menggesa agar peranan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperkukuh dalam proses membuat keputusan bagi memastikan suara penduduk didengari dan diambil kira berkaitan perancangan bandar.

Mengenai isu kelestarian, Lee berkata tumpuan perlu diberikan kepada bandar raya ini terhadap usaha memperluas dan mengekalkan lebih banyak kawasan hijau seperti taman awam dan hutan bandar bagi meningkatkan kualiti udara serta menyediakan ruang rekreasi untuk penduduk.

Beliau turut menggesa supaya pengangkutan awam diperbaiki bagi mengurangkan kesesakan dan pelepasan karbon, termasuk memperbaiki sambungan first-mile dan last-mile, di samping menguatkuasakan dasar yang lebih ketat bagi mengurangkan sisa, menggalak kitar semula dan beralih ke ekonomi kitaran.

“Memperkukuh daya tahan bandar terhadap perubahan iklim dengan menangani masalah banjir kilat, memperbaiki sistem saliran, kolam tadahan banjir dan menggalakkan reka bentuk bandar yang mesra alam juga penting untuk kelestarian bandar raya ini,” katanya.

Lee berkata meningkatkan kualiti hidup penduduk ibu kota juga perlu menjadi keutamaan, termasuk mengurangkan kesesakan lalu lintas melalui pengangkutan awam yang lebih cekap dan infrastruktur yang mesra pejalan kaki.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan keselamatan melalui pencahayaan jalan yang lebih baik, program pencegahan jenayah, dan inisiatif kepolisan komuniti, selain perlunya menggalakkan ekonomi budaya dan kreatif, menyokong perniagaan tempatan, memelihara warisan, serta mengembangkan inisiatif seni awam.

“Melabur dalam keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan dengan memastikan kemudahan penjagaan kesihatan awam lebih baik, sokongan kesihatan mental serta mempromosikan gaya hidup aktif juga merupakan aspek penting dalam mewujudkan Kuala Lumpur yang selesa dihuni,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan