AM

Perkhidmatan Awam Terus Diperkukuh Menerusi Digitalisasi - KSN

03/02/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan awam terus diperkukuh dan ditingkatkan selaras dengan pembangunan digitalisasi dalam usaha mempercepat urusan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata usaha berkenaan telah dimulakan dengan penghantaran penjawat awam menerusi beberapa siri kumpulan ke India bagi menjalani kursus selama enam bulan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kumpulan pertama telah selesai menjalani latihan di India dan kita sudah hantar kumpulan kedua sebanyak 21 orang. Kita juga akan ada kumpulan seterusnya (yang akan dihantar).

“Ia akan menjadi proses berterusan dalam usaha pendigitalan perkhidmatan awam,” katanya kepada Bernama dan RTM di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat berkenaan bertitah agar sistem perkhidmatan kerajaan dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar kerajaan melaksanakan segera pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini.

Pada 24 Jan lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata peruntukan tambahan berjumlah RM56 juta untuk latihan penjawat awam bagi peningkatan kompetensi dalam tujuh bidang tujahan baharu akan mula disalurkan kepada 28 kementerian dalam masa terdekat.

Tujuh bidang tersebut merangkumi AI, transformasi digital, keselamatan siber, peralihan tenaga, keterjaminan dan teknologi makanan, persempadanan negara serta pengurusan bencana.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan