IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang menjalankan operasi mengesan sekumpulan gajah liar yang dilaporkan merosakkan rumah dan tanaman penduduk di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor awal pagi semalam.
Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Sharif berkata tujuh anggota daripada Unit Tindakan Gajah dihantar bagi mengesan kira-kira tujuh hingga lapan ekor gajah liar berkenaan, selepas menerima aduan daripada penduduk pada pukul 7.30 malam, Ahad lepas.
“Kami sudah mula operasi mengesan sekumpulan gajah liar pada pukul 8.30 pagi semalam, dan gajah-gajah liar ini dipercayai telah bergerak jauh dari lokasi kejadian.
“Jadi pihak kami masih terus mencari untuk menangkap gajah ini, namun kami perlu lihat terlebih dahulu lokasi gajah ini di kawasan mana,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pihaknya mengambil maklum berhubung aduan yang diterima daripada penduduk dan menafikan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu.
“Pihak kami menerima aduan kira-kira pukul 7.30 malam pada Ahad lepas, dan beberapa prosedur perlu diikut sebelum menjalankan operasi mengesan gajah itu.
“Selain itu, sewaktu aduan diterima keadaan sudah gelap dan perkara itu akan menyukarkan lagi operasi mengesan dan kami perlu buat persediaan,” katanya.
Beliau berkata susulan serangan itu, penduduk kampung terlibat mengalami kerugian selepas kira-kira 20 pokok nanas musnah serta berlaku kerosakan pada kediaman mereka.
Terdahulu, media melaporkan tular video berdurasi 50 saat memaparkan keadaan rumah milik penduduk Orang Asli musnah akibat serangan sekumpulan gajah dan mendakwa Perhilitan tidak bertindak balas aduan yang dibuat penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial