AM

Lawatan Presiden Uzbekistan Ke IAMM Diharap Dapat Perkukuh Budaya Islam Di Uzbekistan

04/02/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Lawatan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM) esok diharapkan dapat memperkukuh lagi usaha pengekalan budaya Islam di negara berkenaan.

Pengurus Kanan Pejabat Pengarah IAMM Rashidah Salim berkata kesenian Islam merupakan antara kelebihan buat Malaysia dan percaya pelbagai institusi Islam di negara ini bersedia untuk berkongsi kepakaran termasuk dalam pemuliharaan artifak.

 “Jadi lawatan (esok) agak Istimewa. Sebelum ini kita ada ke Uzbekistan (untuk) menjalinkan hubungan dari segi pekerjaan dan kita menawarkan kepakaran kepada Pusat Ketamadunan Islam di Uzbekistan pada 2023.

“Selain muzium, beberapa institusi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan universiti-universiti di negara ini turut menawarkan kepakaran dari segi membuat pameran yang agak interaktif serta pemuliharaan artifak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Rashidah berkata semasa lawatan itu, Mirziyoyev akan dipersembahkan dengan pameran pelbagai manuskrip Islam.

Menurut Kementerian Luar, lawatan rasmi Presiden Uzbekistan ke Malaysia dari 4 hingga 5 Feb ini adalah yang pertama sejak beliau memegang jawatan pada Disember 2016.

Mirziyoyev akan menerima sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada 5 Feb sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Uzbekistan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (US$80.9 juta), berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) pada 2023. Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Pada tahun yang sama, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan