AM

RM10 Juta Diperuntukkan Bina Jejantas Di Jalan Sungai Besar-Sabak Bernam - Nanta

04/02/2025 06:15 PM

SEKINCHAN, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah kebangsaan (SK) Sungai Leman di sini. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembinaan jejantas itu mengambil kira faktor keselamatan penduduk setempat yang perlu melintas jalan raya berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

“Jejantas ini dibina kerana aliran trafik yang tinggi dan berisiko, terutamanya dengan kehadiran kenderaan berat. Saya juga dimaklumkan bahawa semalam berlaku satu kemalangan maut berhampiran lokasi ini.

“Ini adalah keperluan mendesak kerana terdapat sebuah sekolah, masjid, dan kawasan perumahan di sekitar laluan ini. Pembinaan jejantas ini akan meningkatkan keselamatan, keselesaan, serta melancarkan aliran trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki di Jalan Persekutuan (FT) 05 Sungai Besar-Sabak Bernam di sini hari ini.

Menurut Nanta, pembinaan jejantas berkenaan dijangka siap pada awal 2027, dengan proses tender dijadualkan dibuka pada hujung tahun ini selepas kerja ukur dan siasatan tanah selesai dijalankan.

“Saya memohon kerjasama semua pihak, terutama pegawai daerah, bagi mempercepatkan proses ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa projek lain telah diluluskan untuk tahun ini, termasuk penyelenggaraan jalan FT05 di Sabak Bernam dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Beliau berkata projek tersebut merangkumi kerja baik pulih jalan kritikal, pembaikan sistem perparitan bernilai RM2.26 juta, serta pemasangan lampu solar dan pembaikan lampu isyarat bernilai RM750,000.

“Secara keseluruhan, Sabak Bernam dan kawasan sekitar menerima peruntukan sebanyak RM4.61 juta. Selain itu, kerajaan turut meluluskan projek tambahan di Kuala Selangor dengan peruntukan khas berjumlah RM1.6 juta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan