AM

KKR Pertimbang Sesi Cabutan Undi Fizikal Projek Bawah RM200,000

04/02/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempertimbangkan cadangan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia agar kerajaan memperbanyakkan sesi cabutan undian fizikal bagi projek tender pembangunan fizikal kerajaan bernilai bawah RM200,000.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Ahmad Maslan berkata cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat pasca Kabinet KKR pada Jumaat ini, bersama tiga isu lain yang membelenggu kontraktor G1 (sebelum ini dikenali sebagai Kelas F).

Ahmad berkata cadangan itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), selaku badan yang mengawasi serta mengeluarkan lesen kepada kontraktor di Malaysia.

Beliau berkata pelaksanaan undian fizikal dapat menghindari tuduhan ketidaktelusan yang sering dikaitkan dengan penggunaan sistem komputer. 

“Sebagai langkah yang lebih telus, kaedah fizikal seperti penggunaan bola pingpong bernombor boleh digunakan, dan boleh meningkatkan kepercayaan serta kepuasan dalam kalangan kontraktor,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKOBF Cawangan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden PERKOBF Tukiman Radion mengenengahkan tiga isu utama lain dalam ucapannya iaitu menolak cadangan agar pemegang lesen G1 dinaikkan secara automatik ke G2 selepas 12 tahun beroperasi, peningkatan had nilai projek kontraktor G1 daripada RM200,000 kepada RM300,000 serta isu lambakan kontraktor G1 di Malaysia.

Beliau berkata PERKOBF yang kini mempunyai lebih 15,000 ahli berharap kerajaan dapat melihat isu itu secara holistik terutama dalam konteks kenaikan harga bahan binaan yang semakin membebankan kontraktor kecil dan sederhana.

“Saya berasa lega mendengar maklum balas daripada menteri dan saya berharap cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan